'Scammer bukan bodoh, tapi salah guna ilmu' - MB Kelantan

KOTA BHARU – Golongan cerdik pandai yang berjaya dalam akademik tetapi gagal membentuk akhlak disifatkan berisiko menjadi perosak masyarakat, seperti scammer.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, antara bukti nyata ialah kewujudan scammer atau penipu profesional yang semakin berani memperdaya pegawai kanan, tokoh korporat, malah pemimpin negara demi kepentingan diri.
Beliau berkata, mereka ini bukan terdiri daripada kalangan yang lemah dari segi intelek, sebaliknya individu berilmu yang tersasar apabila tidak dibimbing dengan nilai moral serta akhlak Islam yang kukuh.
“Orang yang buat kerja scam ini orang cerdik, bukan orang bodoh.
“Sampai pegawai polis pun dia boleh tipu, pemimpin pun dia tipu. Maksudnya dia salah guna kecerdikan yang ada,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, 12 pelajar cemerlang termasuk empat penerima anugerah cemerlang peringkat kebangsaan bagi pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tujuh pelajar 10 Mumtaz Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024, menerima insentif RM1,000 setiap seorang.
Menurut Mohd Nassuruddin, kejayaan akademik perlu diseimbangkan dengan pembinaan jati diri agar pelajar tidak hanyut apabila melangkah ke menara gading.
“Kalau di sekolah, ada peraturan, disiplin dan pakaian ditetapkan.
“Di universiti, ada kejutan budaya, lebih bebas, berkawan tanpa batasan. Di situ ramai mula hanyut,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pelajar perlu diberi asas kukuh dalam amalan agama seperti menjaga solat, menghormati ibu bapa serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
“Gagal dalam aspek itu boleh membuka ruang kepada salah laku walaupun seseorang itu cemerlang.
“Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut peperiksaan tetapi menyalahgunakan kecerdikan itu untuk merosakkan masyarakat,” tegasnya.
Beliau meminta agar pelajar terus membina kecemerlangan, berakhlak dan berintegriti sehingga ke peringkat universiti, seterusnya menjadi aset penting negeri dan negara.
“Kerajaan negeri memberi sokongan penuh melalui pelbagai bantuan pendidikan termasuk pinjaman Yayasan Kelantan Darulnaim yang boleh ditukar menjadi biasiswa bagi pelajar cemerlang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

