Serbia siasat dakwaan salah guna dana USAID

Jabatan khas antirasuah Serbia telah memulakan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkaitan kewangan membabitkan dana USAID di negara itu - Foto: Reuters
Jabatan khas antirasuah Serbia telah memulakan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkaitan kewangan membabitkan dana USAID di negara itu - Foto: Reuters
A
A
A

BELGRADE - Jabatan khas antirasuah Serbia telah memulakan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkaitan kewangan membabitkan dana Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) di negara itu, menurut Pejabat Pendakwa Raya Awam Tinggi pada Selasa, lapor Xinhua.

Siasatan itu dilakukan susulan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Elon Musk, yang mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan AS. Dakwaan berkenaan membayangkan kemungkinan berlaku penyalahgunaan dana pembayar cukai Amerika, termasuk aktiviti pengubahan wang haram dan penyelewengan bantuan.

Siasatan awal tertumpu kepada penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan individu yang belum dikenal pasti. Pendakwa Raya sedang menyiasat sama ada kontraktor AS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Serbia telah menyalahgunakan dana serta gagal memastikan ketelusan kewangan.

Pihak berkuasa telah mengarahkan polis mendapatkan dokumen daripada empat NGO - Pusat Penyelidikan, Ketelusan dan Akauntabiliti, Inisiatif Sivik, Pusat Dasar Praktikal dan Yayasan Trag - berhubung pengurusan sumbangan USAID.

Selain itu, unit perisikan kewangan Serbia dan bank negara turut ditugaskan untuk menyemak transaksi kewangan pertubuhan berkenaan. Siasatan itu bertujuan menentukan sama ada mana-mana entiti Serbia terlibat dalam aktiviti kewangan haram yang berkaitan dengan dana USAID. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!