Ahli perniagaan didenda RM300,000 perdaya PERKESO

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang memperdayakan kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung kursus dan latihan tidak wujud berjumlah RM496,000 lima tahun lalu didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
P Sathia Seelan, 52, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.
Mahkamah memerintahkan bapa kepada dua anak itu dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdaya dua pegawai PERKESO untuk mempercayai bahawa dokumen bertarikh 4 Disember 2020 dan 22 Julai 2021 mengandungi senarai nama kehadiran dan tandatangan peserta bagi tiga kursus.
Sedangkan latihan itu tidak pernah dijalankan atas nama lima syarikat pada tarikh tersebut.
Perbuatan itu mendorong PERKESO membuat bayaran RM496,000 kepada Syarikat Global Education Network Sdn Bhd milik tertuduh yang mana pertubuhan itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya antara 23 Disember 2020 dan 12 Ogos 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, rakannya, pekerja sembilan, R Nanthagopal, 43, turut didenda RM300,000 selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan bersubahat dengan Sathia Seelan di tempat dan masa sama.
Mahkamah memerintahkan dia dipenjara 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.
Bagaimanapun, peguam, R Babu Naidu yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu mereka dikenakan hukuman ringan kerana mengaku insaf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

