Ahli perniagaan maut ditembak di Meru ada kaitan perbalahan kongsi gelap - Polis

Seorang lelaki ditemui maut ditembak dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lorong Mahang 1, Taman Meru Utama.
Seorang lelaki ditemui maut ditembak dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lorong Mahang 1, Taman Meru Utama.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan maut ditembak di hadapan sebuah kedai di Taman Meru Utama, Meru, Klang pada Jumaat lalu, dipercayai berkaitan perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan siasatan dijalankan, pihaknya telah menahan dua individu, masing-masing merupakan lelaki tempatan, berhubung kes tersebut.

“Kedua-dua individu ini berumur antara 25 hingga 40 tahun dan ditangkap di sekitar kawasan Klang pada hari yang berbeza.

“Siasatan dipercayai berpunca daripada perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Menurutnya, seramai 12 individu terdiri daripada orang awam telah dirakam keterangan berhubung kejadian itu.

“Motif tembakan ini bukan secara rambang, sebaliknya merupakan serangan yang disasarkan berikutan perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap.

“Punca perbalahan masih dalam siasatan sama ada berkaitan perebutan kawasan, pengedaran dadah atau perkara lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian kumpulan kongsi gelap yang terlibat.

“Siasatan turut mendapati mangsa dipercayai merupakan ahli salah satu kumpulan kongsi gelap terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek yang melepaskan tembakan merupakan individu yang diupah atau ahli salah satu kumpulan terlibat,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Polis turut meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang lelaki tempatan itu.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 46 tahun ditemui maut dalam keadaan mengiring dengan kesan tembakan di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di Taman Meru Utama, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!