183 pelajar terlibat samseng jalanan, lumba haram - Polis KL

Mohamed Usuf merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.
Mohamed Usuf merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Gejala sosial dalam kalangan remaja di ibu negara masih berada di tahap membimbangkan apabila seramai 183 pelajar dikenal pasti terlibat dalam kegiatan samseng jalanan dan lumba haram sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur melaporkan bahawa kesemua individu tersebut disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Seramai 135 pelajar sekolah menengah dan 48 penuntut kolej atau institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dalam aktiviti samseng jalanan dan lumba haram,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail.

Mohamed Usuf berkata, statistik pelajar yang dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah pula menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu.

“Pada 2023, seramai 84 pelajar direkodkan terbabit dengan kes dadah, namun sehingga pertengahan tahun ini, hanya 26 pelajar dikenal pasti terlibat.

“Antara jenis dadah yang dikesan termasuk amphetamine, methamphetamine, ganja, syabu dan eramin 5,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Kuala Lumpur turut merekodkan penurunan tangkapan pelajar dalam kes sosial dan tidak bermoral sejak tahun lalu.

“Tahun 2023 mencatatkan 17 tangkapan, 2024 pula 16 tangkapan, dan pada 2025 hanya empat tangkapan direkodkan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun angka ini menunjukkan trend menurun, ia masih memerlukan pemantauan dan intervensi berterusan,” katanya.

Menurut beliau, usaha membendung gejala sosial serta pengaruh negatif dalam kalangan pelajar tidak boleh hanya disandarkan kepada pihak sekolah dan polis semata-mata.

“Paling utama, pendidikan bermula dari rumah. Tanpa peranan ibu bapa dan penjaga, segala inisiatif pencegahan tidak akan berjaya sepenuhnya.

“Program seperti seminar ini penting kerana ia bukan sekadar ceramah tetapi platform untuk membentuk sahsiah dan jati diri pelajar sejak awal,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis KL menugaskan dua pegawai perhubungan sekolah di keseluruhan 209 sekolah di sekitar ibu kota.

Sementara itu, Megat Affandi berkata, kerjasama antara pihak polis dan sekolah amat penting bagi membendung masalah disiplin dan sosial dalam kalangan pelajar.

“Daripada awal kita sudah bekerjasama dengan pihak PDRM. Sekolah-sekolah pun ada pegawai perhubungan sekolah (PPS) yang ditugaskan untuk memantau dan membantu menangani masalah pelajar.

“Sebarang kes disiplin yang dikesan akan terus disalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kita mahu isu ini ditangani lebih awal sebelum menjadi lebih serius,” katanya.

Seminar itu disertai lebih 300 pelajar sekolah menengah dari seluruh ibu kota.

Program tersebut adalah anjuran bersama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!