Anggota trafik maut kemalangan ketika laksana Op Samseng Jalanan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) meninggal dunia dalam kemalangan semasa tugas operasi Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara di sini awal pagi Sabtu.
Mangsa ialah Allahyarham Lans Koperal Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman, 24.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, Allahyarham terlibat kemalangan ketika menjalankan Op Samseng Jalanan Fasa Kedua yang dilaksanakan bermula jam 12 tengah malam.
“Ketika kejadian kira-kira jam 4.40 pagi, Allahyarham bersama seorang lagi anggota sedang mengekori sebuah motosikal, bukan mengejar tetapi mengekori seorang penunggang yang melakukan aksi samseng jalanan.
“Sampai susur dari Jalan Tun Razak ke Jalan Kuching, Allahyarham terbabas kerana ketika itu keadaan jalan masih basah,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Turut hadir memberi penghormatan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa bersama isterinya, Datin Zuraini Abd Razak.
Dalam pada itu, kata Mohd Zamzuri, Allahyarham terjatuh ke bahagian kiri jalan dan seorang lagi anggota yang berada kira-kira 10 saat di belakang turut terjatuh.
Mohd Zamzuri berkata, Allahyarham dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi anggota cedera ringan.
"Allahyarham berkhidmat di JSPT Kuala Lumpur sejak tamat latihan kira-kira empat tahun lalu dan bertugas di Bahagian Risikan/Operasi sejak setahun lalu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
