Mudahnya guna bayaran tanpa tunai, tapi menjerat poket sendiri

Di zaman teknologi moden kini, duit tunai sekarang bukan lagi di dalam dompet, tapi diam-diam tersimpan dalam aplikasi. Ada e-wallet, online banking atau kad pintar tanpa sentuh. Sekali imbas, sekali sentuh, selesai semua urusan.
Tapi di sebalik semua itu, ramai yang terperangkap dalam bahaya senyap. Leka berbelanja sampai tak sedar duit gaji semakin susut.
Bayaran secara digital menjadikan perbelanjaan terasa tidak berdosa. Tak nampak wang keluar, tak rasa kehilangan. Pergi kedai kopi, satu ketikan. Beli baju secara dalam talian, satu geseran. Pesan makanan di lewat malam, satu imbasan. Tak sampai seminggu, baki akaun tinggal cukup-cukup makan.
Berbeza dengan tunai, kita nampak duit berkurang. Boleh kawal berbelanja. Tapi dengan transaksi digital, terlalu mudah dan terlalu senyap. Tiada rasa sayang duit, yang ada mungkin penyesalan di hujung bulan.
Tapi kita tidak ada pilihan sebab terpaksa ikut arus teknologi. Bahkan banyak kedai-kedai pun sudah tidak menerima duit tunai lagi. Semua memakai polisi bayaran tanpa tunai. Jadi, kenalah guna dengan bijak dan bukan ikut nafsu berbelanja.
Merak Jalanan sendiri akui kadang kala terjebak dengan 'kenakalan' teknologi bayaran digital ini. Tengok duit dalam dompet tak luak-luak, tapi rupa-rupanya akaun bank sudah semakin menyusut.
Kadangkala dalam dompet langsung tak ada duit tunai tapi masih boleh berjalan ke sana-sini dengan senang hati. Pernah sekali, dua minggu Merak Jalanan tak pegang duit dan tak tengok rupa ringgit.
Terfikir juga, mungkinkah satu hari nanti orang kita terutama generasi muda tidak kenal lagi bagaimana rupa wang kertas Malaysia, akibat sudah terbiasa dengan aktiviti jual beli menggunakan aplikasi digital.
Harap-harap tidaklah sampai begitu sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
