Projek Bantu Bangkit: Ubah Nasib sasar keluarga terpinggir

Dr Sahar (duduk, dua dari kiri) bersama Muhammad Nasir (duduk, empat dari kiri) merakam gambar bersama pelajar Fakulti Sains Sosial Gunaan, UniSZA dan penerima bantuan sempena Majlis Perasmian Penutup projek itu di Dewan Auditorium Bangunan Akademik UniSZA.
Dr Sahar (duduk, dua dari kiri) bersama Muhammad Nasir (duduk, empat dari kiri) merakam gambar bersama pelajar Fakulti Sains Sosial Gunaan, UniSZA dan penerima bantuan sempena Majlis Perasmian Penutup projek itu di Dewan Auditorium Bangunan Akademik UniSZA.
A
A
A

KUALA NERUS – Projek Bantu Bangkit: Ubah Nasib yang dilaksanakan pelajar Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya membawa perubahan positif kepada enam keluarga di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu.

Projek di bawah bimbingan pensyarah, Profesor Madya Dr Sahar Sa'di Hashim itu menyasarkan golongan rentan termasuk keluarga B40, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mangsa kebakaran untuk bangkit memperbaiki kehidupan.

Menurut Dr Sahar, projek berkenaan memberi fokus kepada tiga bentuk bantuan utama iaitu sokongan fizikal, emosi dan motivasi bagi membangkitkan semangat serta daya usaha dalam kalangan penerima untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Katanya, setakat ini, enam keluarga telah menerima manfaat hasil pelaksanaan projek itu terdiri daripada golongan memerlukan yang terpinggir daripada arus pembangunan masyarakat.

"Secara keseluruhan, Projek Bantu Bangkit: Ubah Nasib berjaya memberi impak positif kepada kehidupan penerima bantuan walaupun dalam skala sederhana.

"Bantuan yang disalurkan, khususnya kepada golongan B40, ibu tunggal, OKU dan mangsa kebakaran di Kampung Chabur Tiga, Kuala Terengganu telah membantu meringankan beban harian mereka selain memberi semangat baharu untuk terus melangkah ke hadapan.

"Beberapa penerima menunjukkan perubahan sikap yang lebih positif, lebih bersemangat serta yakin untuk bangkit semula, terutamanya mereka yang menerima bantuan barangan bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, bantuan yang diberikan bukan sahaja berbentuk material, malah turut merangkumi sokongan emosi dan sosial yang menjadi faktor pendorong utama kepada perubahan.

Jelasnya, pelaksanaan projek itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh politik serta tokoh masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek itu tidak terlepas daripada beberapa cabaran seperti kekangan dana, kesukaran mengenal pasti keperluan sebenar penerima serta isu logistik dalam proses pengedaran bantuan.

"Keperluan sokongan emosi kepada penerima dan masa pelajar yang terhad turut menjadi antara cabaran besar," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, beberapa penambahbaikan telah dilakukan termasuk meningkatkan pengumpulan dana, memperluas jaringan kerjasama serta memperkemas sistem pemilihan penerima supaya lebih telus dan berfokus.

"Latihan dan sokongan berterusan kepada penerima juga akan diperkukuhkan bagi membantu mereka berdikari secara konsisten, selain penggunaan teknologi bagi memudahkan pemantauan serta pengurusan projek," katanya lagi.

Sementara itu, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, projek berkenaan menjadi contoh kerjasama pelbagai lapisan masyarakat yang mampu mencetus perubahan bermakna buat golongan terpinggir.

"Projek Bantu Bangkit: Ubah Nasib merupakan sinar harapan baharu buat mereka yang tercicir, dan kami akan terus pastikan ia diteruskan secara lebih tersusun dan berkesan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!