Pemuda lumpuh enam tahun, sahabat bantu pulihkan semangat

Kawan- kawan membawa Muhd Idzwan Syafiq mandi sungai dan menikmati alam sekitar.
Kawan- kawan membawa Muhd Idzwan Syafiq mandi sungai dan menikmati alam sekitar.
A
A
A

SHAH ALAM - “Kalau Iwan tak bangkit, macam mana keadaan umi yang kandungkan Iwan."

Itu kata-kata yang menusuk ke hati Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 33, ketika dia hampir putus asa selepas lebih enam tahun terlantar akibat Spinal cord injury (SCI) iaitu kecederaan saraf tulang belakang yang dialaminya sejak 2019.

Kata semangat itu bukan sekadar nasihat, tetapi menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidupnya.

Anak bongsu daripada empat beradik ini bukan asing dengan ujian.

Kejadian pada tahun 2018, ketika dia terjatuh dari tangga sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah menjadi permulaan kepada kehidupan penuh cabaran.

Tahun berikutnya, selepas menjalani pembedahan, Muhd Idzwan Syafiq kehilangan keupayaan untuk bergerak dan hanya mampu terbaring di atas katil.

Menurut Muhd Idzwan Syafiq, kerusi roda pun tidak dapat digunakan kerana badannya terlalu lemah.

“Enam tahun saya tak pernah duduk, tak pernah pergi mana-mana apatah lagi menikmati alam dan mandi sungai.

"Jadi bila kawan-kawan bawa mandi sungai dan sanggup jaga saya, hati saya luluh, dalam masa sama syukur sangat.

Artikel Berkaitan:

"Sudah lama tidak menikmati rasa air sungai," katanya kepada Sinar Harian.

Baru-baru ini, tular video yang memaparkan sekumpulan pemuda gigih mengangkat sahabat mereka untuk menikmati alam semula jadi di sungai menjadi simbol kekuatan persahabatan dan semangat kekitaan.

Anak jati Kelantan itu memberitahu, di saat dunia seolah-olah menolaknya, muncul rakan-rakan baharu yang bukan sahaja memberi semangat, malah sedia memikul tubuhnya demi mengembalikan semangat yang hilang.

“Dulu saya rasa masyarakat tak boleh terima saya. Pernah rasa dihina, dipandang rendah, sampai dua tahun alami kemurungan.

"Tapi ALLAH gantikan dengan sahabat baharu yang sentiasa ada, mereka tak jemu bagi kata semangat.

"Tanpa ihsan mereka, mungkin saya masih terbaring dan gelap harapan,” jelasnya.

Selain SCI, Muhd Idzwan Syafiq turut menghidap lima lagi penyakit termasuk gout dan kecederaan berpanjangan pada tulang belakang.

Walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia nekad untuk memulakan perniagaan bersama kawan agar cita-citanya untuk membawa ibu menunaikan umrah akan tercapai.

"Saya sedar keadaan kesihatan tidak membenarkan untuk bekerja sepenuh masa namun bukan penghalang untuk terus berusaha.

“Saya cuma nak tengok umi bahagia. Kalau ada rezeki, saya nak bawa umi ke Makkah, nak minta maaf, nak ucap terima kasih sebab umi tak pernah tinggal saya.

“Yang jahat bukan dunia, tapi hati dan perasaan kita bila kita tak dapat terima takdir.

"Dunia ini luas dan kalau buka hati, pasti akan nampak ramai lagi yang sudi bantu dan sayang kita,” jelasnya

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!