Bot terbalik: Lesen jurumudi digantung, lesen bot dibatal serta-merta

KUALA TERENGGANU - Lesen jurumudi bot pelancong yang terlibat dalam kejadian bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, malam Sabtu lalu, digantung serta-merta sehingga siasatan kes tersebut selesai.
Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur, Mohamad Halizam Samsuri berkata, lesen pemilik bot turut digantung manakala lesen bot berkenaan dibatalkan serta-merta kerana mengalami kerosakan serius.
"Jika siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan, tindakan tegas termasuk pembatalan lesen sepenuhnya akan diambil.
"Setakat ini dua kesalahan besar dikenalpasti iaitu melanggar syarat lesen dengan membawa penumpang melebihi had dan beroperasi waktu malam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JLM Wilayah Timur, di sini, pada Selasa.
Mengulas dakwaan jurumudi terbabit berada di bawah pengaruh dadah, beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan siasatan daripada pihak berkuasa.
"Pemandu dan pemilik bot merupakan individu yang sama. Buat masa ini, lesen jurumudi digantung. Jika terbukti bersalah, lesen itu akan dibatalkan sepenuhnya.
"Walaupun lesen bot dan perlindungan insurans masih sah sehingga Mac 2026, bot itu dipercayai beroperasi di luar syarat pelesenan.
"Antara kesalahan jelas ialah bot tidak dibenarkan beroperasi pada waktu malam dan tidak boleh membawa penumpang melebihi kapasiti ditetapkan," ujarnya.
Beliau berkata, bot bersaiz kecil, hanya sepanjang 7.9 meter dan lebar 1.79 meter, dengan had maksimum dua kru dan 10 penumpang, namun, bilangan penumpang ketika kejadian didapati melebihi jumlah dibenarkan.
Mengulas mengenai pemakaian jaket keselamatan, beliau berkata, terdapat dakwaan penumpang tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
Katanya, bot berkenaan berdaftar pada Mac lalu dan dipercayai merupakan bot pertama diusahakan oleh pemilik bot terbabit.
"Jurumudi sepatutnya tegas memastikan semua penumpang memakai jaket sebelum bot bergerak.
"Mungkin dia masih baharu dan kurang pengalaman, tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan dan penguatkuasaan keselamatan maritim dilakukan secara berkala melibatkan pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan.
"Setiap bot perlu menyediakan jaket keselamatan bercahaya untuk digunakan pada waktu malam, namun tidak semua bot layak beroperasi pada waktu itu kerana ada syarat-syarat yang ditetapkan bagi yang beroperasi.
"Jika cuaca tidak mengizinkan, operasi perlu dihentikan serta-merta," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengusaha agar sentiasa mematuhi syarat pelesenan dan memastikan keselamatan penumpang menjadi keutamaan.
"Peraturan ini bukan untuk menyusahkan, sebaliknya melindungi nyawa. Penumpang juga perlu patuh pada arahan jurumudi demi keselamatan bersama," katanya.
Jelas beliau, sebanyak 221 bot penumpang berlesen dilaporkan beroperasi di sekitar perairan Besut termasuk ke destinasi pelancongan seperti Pulau Perhentian.
Sabtu lalu, bot yang membawa 15 penumpang dari tiga keluarga termasuk enam kanak-kanak terbalik selepas dilambung ombak besar dalam cuaca ribut pada jam 10.30 malam.
Tiga mangsa disahkan terkorban iaitu S. Arumugam, 40, dan anaknya, A Sarrvihka, 3; serta V R Vennpani, 10, manakala seorang lagi kanak-kanak, T S Sakthivel, 6, yang dirawat di hospital kerana kritikal telah stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
