Bot terbalik di Pulau Perhentian: Reman pemandu bot disambung sehari

JERTIH - Reman terhadap pemandu bot terlibat dalam tragedi yang mengorbankan tiga penumpang di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas disambung sehari lagi hingga esok.
Perintah sambung remah terhadap lelaki berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Besut hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, pemandu bot berkenaan direman tiga hari bermula Isnin lepas setelah ditahan pada Sabtu kerana didapati positif dadah selepas kejadian bot pelancong terbalik di Pulau Perhentian yang menyebabkan tiga terkorban.
Dalam kejadian 10.30 malam itu, S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, serta seorang lagi kanak-kanak perempuan V Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa masih dirawat di hospital termasuk seorang kritikal dan 10 lagi terselamat.
Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, sebelum bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak besar.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu mengesahkan pemandu bot berkenaan positif dadah selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
