Ratusan senjata api tiruan dirampas di Segambut

Zairulnizam menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang dirampas di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur pada Isnin.
Zairulnizam menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang dirampas di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai senjata api tiruan menerusi satu serbuan di sebuah rumah teres di Segambut, dekat sini, pada Isnin.

Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, ratusan senjata api tiruan yang dirampas itu menyerupai beberapa jenis senjata yang digunakan oleh pihak PDRM.

Beliau berkata, antara senjata api yang dirampas ialah pistol Walther P99, raifal M4 Carbine dan Colt AR-15.

Sebahagian senjata api tiruan yang dirampas pihak polis semasa serbuan di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebahagian senjata api tiruan yang dirampas pihak polis semasa serbuan di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur pada Isnin.

"Selain senjata api tiruan, pihak kami turut merampas busur silang yang menggunakan bebola besi (ball bearing crossbow) dan pistol lembing (spear gun).

"Senjata api tiruan ini, jika disalah guna boleh mengakibatkan kecederaan," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan pada Isnin.

Zairulnizam berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut menahan tiga individu warga asing termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang disyaki penjaga premis.

Menurut beliau, semua senjata api tiruan yang dirampas disimpan di rumah tersebut untuk tujuan pembungkusan semula sebelum dijual secara terbuka dalam talian melalui media sosial.

Artikel Berkaitan:

Katanya, harga senjata api tersebut berbeza mengikut kualiti dan jenis, dan pihak polis masih mengumpul maklumat mengenai harga jualan serta kuantiti sebenar yang dirampas.

"Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana mengimport atau memiliki senjata tiruan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 39(b) akta yang sama," katanya.

Mengulas mengenai penjualan senjata api tiruan itu, Zairulnizam berkata, pihaknya mengesan penjualannya dilakukan secara terbuka di platform media sosial.

Justeru, beliau berkata, pihak polis akan mempergiatkan operasi serbuan bagi membanteras penjualan senjata api tiruan kerana ia berpotensi disalah guna untuk tujuan jenayah.

Semua senjata api tiruan tersebut disimpan di rumah terbabit untuk tujuan pembungkusan semula sebelum dijual secara terbuka dalam talian melalui media sosial.
Semua senjata api tiruan tersebut disimpan di rumah terbabit untuk tujuan pembungkusan semula sebelum dijual secara terbuka dalam talian melalui media sosial.

“Malah, terdapat beberapa kes jenayah yang dilakukan menggunakan senjata api tiruan.

“Pihak polis menasihatkan pentadbir platform media sosial agar memantau aktiviti penjualan di platform masing-masing dan memastikan barangan terlarang tidak dijual.

“Jika perkara ini masih berulang, pihak polis akan memohon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan tegas,” ujarnya.

Sementara itu, Zairulnizam berkata, hasil serbuan yang dijalankan pada Isnin, pihaknya telah memperoleh senarai nama dan alamat individu yang telah membeli senjata api tiruan.

Tegasnya, mereka yang terlibat diminta supaya melupuskan senjata api tiruan tersebut sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Tambah beliau, pihak polis turut menjalankan serbuan serupa di beberapa lokasi lain di Selangor dan Johor.

Jelasnya, kenyataan media mengenai jumlah keseluruhan rampasan dan nilai akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!