Warga emas ditahan baiki, miliki senjata api tanpa lesen

Yusof (dua dari kanan) menunjukkan peluru tabur yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Yusof (dua dari kanan) menunjukkan peluru tabur yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki warga emas ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis di Ladang Pasir Panjang, di sini kerana disyaki membaiki dan memiliki senjata api secara haram.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, operasi itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Risikan dan Operasi KDNKA Bukit Aman berdasarkan laporan berkenaan pemilikan senjata api.

"Dalam serbuan itu, kita menahan dua lelaki tempatan yang mana suspek pertama merupakan seorang lelaki duda berusia 65 tahun. Hasil siasatan awal mendapati dia mahir dalam membaiki senjata api.

"Suspek pertama ini mengakui senjata api yang dibuat adalah bagi tujuan memburu haiwan secara haram dan tidak memiliki lesen senjata yang sah.

"Tangkapan kedua melibatkan lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai pelanggan yang datang membaiki komponen senjata api," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Kota Tinggi, di sini, pada Isnin.

Yusof (dua dari kiri) meneliti senapang patah tunggal yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Yusof (dua dari kiri) meneliti senapang patah tunggal yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Mengulas lanjut, Yusof memaklumkan, rampasan dibuat melibatkan selaras senapang patah tunggal, 170 peluru 'buckshot', dua bongkah kayu udi senapang, satu rumah picu, dua 'barrel' dan 'handguard', 26 komponen senapang patah, kereta Proton Wira milik suspek pertama, 11 peralatan mesin serta dua telefon bimbit.

Tambah beliau, suspek yang berusia 39 tahun didapati mempunyai rekod lampau dadah dan hasil semakan ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-dua suspek negatif dadah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari oleh Majistret Kota Tinggi bermula 22 hingga 25 Februari dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduanya sekali," jelasnya.

Dalam pada itu, Yusuf menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam pemilikan dan pengedaran senjata api secara haram.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam kes jenayah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!