Tiada unsur sabotaj, kecuaian dalam kebakaran paip gas – Polis

SHAH ALAM - Polis Selangor mengesahkan tiada unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti dalam insiden kebakaran melibatkan saluran paip gas milik Petronas di Putra Heights Subang Jaya pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan menyeluruh bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Petronas mendapati kejadian itu berpunca daripada saluran paip gas bawah tanah milik syarikat berkenaan.
"Kebakaran berlaku kira-kira jam 8.06 pagi dan mengambil masa tujuh jam untuk dipadamkan sepenuhnya oleh bomba.
"Siasatan polis melibatkan dua aspek utama iaitu unsur khianat di bawah Seksyen 435 dan kecuaian mengikut Seksyen 285 dan 286 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung laporan siasatan insiden kebakaran Putra Heights di Wisma Dewan Annexe Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam di sini pada Isnin.
Menurut beliau, siasatan turut memberi tumpuan kepada beberapa faktor antaranya kerja-kerja pembinaan deretan kedai dan penggantian paip oleh kontraktor, kemungkinan perbuatan sabotaj dan aktiviti lain seperti pembakaran mercun di kawasan kejadian.
"Polis telah memproses lokasi kejadian dan mengambil beberapa sampel bahan untuk dianalisis," ujarnya.
Selain itu, katanya, sebanyak 212 individu termasuk mangsa, saksi bebas, wakil agensi berkaitan seperti Petronas, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pemaju, kontraktor dan pakar bebas telah dirakam percakapan.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati, pembinaan lot kedai dan penggantian penutup saluran paip dilakukan mengikut garis panduan ditetapkan MBSJ dan Petronas dan berada di zon penampan sejauh 40 meter dari paip gas.
"Kerja penggantian paip dilakukan secara berhati-hati tanpa mengganggu paip sedia ada yang terletak pada kedalaman 5.6 meter dari paras jalan.
"Tiada aktiviti pembinaan dijalankan ketika kejadian berlaku dan tiada bukti sabotaj atau khianat dikesan," kata beliau.
Hussein berkata, tekanan gas yang dicatatkan di Pusat Kawalan Gas Petronas juga berada pada bacaan normal sebelum kejadian dan hanya menunjukkan penurunan drastik sejurus insiden berlaku.
"Berdasarkan siasatan terperinci, pihak polis mendapati tiada sebarang elemen jenayah atau kecuaian yang boleh dikaitkan sebagai punca kebakaran," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

