Kebakaran Putra Heights: Selangor kenal pasti, bantu mangsa alami kecederaan serius

Amirudin (kiri) dan Kor Ming pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah kepada Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Rabu.
Amirudin (kiri) dan Kor Ming pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah kepada Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti senarai mangsa yang terkesan dari segi kesihatan susulan insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, bagi menyalurkan bantuan rawatan lanjut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, senarai semak sedang dikumpul bagi mengenal pasti penduduk yang memerlukan sokongan rawatan termasuk kes membabitkan rawatan kulit dan kecederaan serius.

Menurut beliau, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin akan meneliti maklumat lanjut berkaitan mangsa yang sedang dirawat di hospital awam seperti Hospital Putrajaya dan Cyberjaya, serta hospital swasta termasuk Sunway Medical Centre.

“Bantuan rawatan kesihatan ini bukan sepenuhnya tetapi kerajaan negeri akan menanggung sebahagian kos terutama bagi prosedur seperti cantuman kulit dan rawatan lain yang lebih serius,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah kepada Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut beliau, siasatan dan lawatan ke beberapa institusi sedang dilakukan bagi mendapatkan data lengkap.

"Kita belum dapat angka sebenar kerana maklumat ini baru diperoleh minggu lalu dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han sedang melakukan siasatan dan kunjungan ke beberapa institusi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Ada mangsa yang mengalami 30 peratus kebakaran dan memerlukan rawatan berpanjangan serta kos yang tinggi.

"Mungkin sebahagian ada insurans, jadi kita akan bantu ikut kemampuan dan keperluan,” tambah beliau.

Amirudin (kiri) dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (kanan) pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights di Foyer, Bangunan SUK Negeri Selangor di sini pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!