Guru didakwa miliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak

TEMERLOH - Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.
Tertuduh, Rosly Sulaiman, 48, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa pada 18 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira jam 6 petang memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit miliknya.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh kira-kira jam 4.45 petang,19 Jun lalu di sebuah rumah di Kampung Berhala Gantang di sini didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit serta komputer riba miliknya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Jamaludin turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu saksi dan melaporkan diri di balai polis berdekatan kediamannya sebulan sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

