Lampu rosak, tayar botak antara kesalahan teknikal bas tertinggi dikesan JPJ

JPJ melaksanakan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 dari 13 hingga 22 Februari ini di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan pematuhan semua pengguna jalan raya.
JPJ melaksanakan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 dari 13 hingga 22 Februari ini di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan pematuhan semua pengguna jalan raya.
A
A
A

SHAH ALAM – Lampu isyarat tidak berfungsi, lampu brek rosak, cermin retak dan tayar botak antara kesalahan paling tinggi dikesan melibatkan bas sepanjang pemeriksaan dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sepanjang tahun lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kesalahan teknikal yang direkodkan itu mencatatkan 111 kes serta dikesan menjadi antara pelanggaran utama dalam operasi penguatkuasaan dijalankan sebelum ini.

"Selain kesalahan teknikal, antara kesalahan lain yang dikesan termasuk tiada insurans sebanyak 33 kes, tayar botak empat kes serta memandu di lorong kanan secara berterusan sebanyak tiga kes.

"Kesalahan teknikal seperti lampu isyarat dan lampu brek yang tidak berfungsi boleh meningkatkan risiko kemalangan, terutama ketika waktu malam atau hujan," katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17 di sini pada Jumaat.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 13,484 bas diperiksa melibatkan 11,575 bas ekspres dan 1,909 bas persiaran.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 277 kenderaan telah diambil tindakan penguatkuasaan manakala 712 notis telah dikeluarkan," katanya.

Azrin (tengah) ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah bas ketika Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17, Shah Alam pada Jumaat.
Azrin (tengah) ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah bas ketika Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17, Shah Alam pada Jumaat.

Azrin berkata, tindakan yang diambil bergantung kepada jenis kesalahan sama ada terhadap pengusaha atau pemandu.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, jika melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tindakan akan diambil terhadap pengusaha.

"Jika melibatkan pemanduan berbahaya, tindakan akan diambil terhadap pemandu,” katanya.

Dalam pada itu, Azrin berkata, JPJ melaksanakan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 dari 13 hingga 22 Februari ini di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan pematuhan semua pengguna jalan raya, termasuk pengangkutan awam, kenderaan persendirian, dan kenderaan barangan, sepanjang musim perayaan.

Jelasnya, sepanjang operasi ini, JPJ menekankan aspek keselamatan pengguna jalan raya melalui pematuhan pemasangan dan fungsi Speed Limitation Device (SLD).

"Ini bagi memastikan kenderaan perdagangan yang beroperasi mematuhi had kelajuan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan.

"Sekiranya didapati kenderaan tidak dipasang SLD, notis temu siasat akan dikeluarkan untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, sepanjang operasi Tahun Baharu Cina ini, seramai 222 anggota digerakkan dengan sokongan 57 kenderaan operasi.

Tegasnya, pengusaha bas turut diingatkan supaya memastikan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara berkala bagi mengelakkan risiko kemalangan dan tindakan penguatkuasaan.

Ringkasan AI

  • Lampu isyarat tidak berfungsi, lampu brek rosak, cermin retak dan tayar botak antara kesalahan paling tinggi dikesan pada bas oleh JPJ Selangor tahun lalu
  • Kesalahan teknikal mencatatkan 111 kes dan menjadi pelanggaran utama dalam operasi penguatkuasaan
  • Sebanyak 13,484 bas diperiksa melibatkan 11,575 bas ekspres dan 1,909 bas persiaran dengan 277 kenderaan diambil tindakan penguatkuasaan
  • Operasi Khas Tahun Baharu Cina dilaksanakan dari 13 hingga 22 Februari untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya
  • JPJ menekankan pematuhan pemasangan dan fungsi Speed Limitation Device pada kenderaan perdagangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!