Peluang terakhir 6 lelaki ketepi hukuman gantung kes bunuh Kevin Morais, esok

PUTRAJAYA - Nasib enam lelaki untuk mengetepikan hukuman gantung sampai mati dan sabitan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais 10 tahun lalu, akan diputuskan Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.
Mereka selaku perayu pertama hingga keenam itu ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 62; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 54, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 33; A K Thinesh Kumar, 32; M Vishwanath, 35 serta S Nimalan, 32.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tiga hakim akan memutuskan demikian bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Ini merupakan peluang terakhir mereka untuk dibebaskan daripada hukuman berkenaan namun sekiranya mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan, mereka berdepan hukuman mati.
Sekiranya tidak dihukum gantung, mereka mungkin dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 sebatan.
Pada 14 Mei lalu, Hakim, Tengku Maimun berkata, keputusan terhadap rayuan akhir itu ditangguhkan ke tarikh lain kerana mahkamah memerlukan masa untuk meneliti rayuan berkenaan.
Prosiding itu merupakan lanjutan daripada perbicaraan yang diadakan pada 13 Mac dan 23 April lalu.
Semasa hujahan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berkata, beg plastik yang ditemukan dalam kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu Nimalan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa.
Beliau selaku responden juga berkata, baju-T pula mengandungi DNA Nimalan, Ravi Chandran dan si mati.
Beliau turut menghujahkan, Nimalan yang juga tertuduh keenam jelas bertindak untuk meneruskan niat bersama dalam melakukan pembunuhan itu.
Bagaimanapun, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Nimalan memohon mahkamah mempertimbangkan prinsip ‘dua jenayah’, dengan alasan, perbincangan yang berlaku sehari sebelum kejadian hanya merujuk kepada penculikan, dan bukan pembunuhan.
Beliau berkata, anak guamnya tidak patut didakwa atas tuduhan membunuh, sebaliknya wajar didakwa atas tuduhan menculik atau melupuskan bukti.
Selain Amer, perayu-perayu turut diwakili peguam Datuk N Sivananthan, Y Sheelan Samuagan, Kitson Foong, Burhanudeen Abdul Wahid dan Afifuddin Ahmad Hafifi.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati terhadap enam tertuduh itu, yang didapati bersalah membunuh mendiang yang mayatnya disimen dalam tong dram, pada 2015.
Hakim, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata, semua tertuduh didapati mempunyai niat bersama-sama membunuh Kevin pada September 2015.
Menurutnya, mahkamah mengambil penelitian dengan penemuan sarung tangan yang mengandungi kesan darah milik Kevin dalam kereta Mitsubishi Triton (milik tertuduh) yang digunakan untuk melanggar kenderaan yang dipandu mendiang.
Berikutan itu, Azman memerintahkan semua tertuduh digantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan seperti tuduhan dihadapi mereka.
Keputusan sabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2024.
Keputusan secara sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa membunuh Kevin ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 dan berdepan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Kevin.
Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015 yang mana sebelum ini dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana.
Mayatnya ditemukan di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

