Sifar buli: Mampukah jadi realiti?

INSIDEN buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut baru-baru ini, sekali lagi membuka pekung bahawa budaya buli masih berakar umbi di institusi pendidikan kita walaupun berkali-kali ditegaskan dengan pendekatan dasar ‘sifar buli’.
Meskipun Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menyuarakan komitmen penuh untuk membanteras budaya tersebut, kejadian yang menyebabkan pelajar Tingkatan Dua cedera akibat dibelasah pelajar senior amat mengecewakan.
Enam pelajar yang terbabit dalam kejadian itu telah dibuang dari MRSM serta-merta.
Tindakan tegas diambil selepas laporan polis dibuat berhubung insiden buli yang didakwa berlaku di asrama putera.
Menurut Pengerusi Mara itu lagi, beliau ‘menangis dalam hati’ melihat pelajar-pelajar yang terlibat memakai baju lokap dan masa depan mereka berakhir dengan tindakan undang-undang hanya kerana terlibat dalam budaya buli.
Justeru, kenyataan beliau yang menegaskan prinsip you touch, you go patut diangkat sebagai dasar keras dan tegas dalam menangani buli.
Amaran beliau — tindakan akan diambil terhadap mana-mana pengetua, warden atau guru yang cuba menutup kes — satu isyarat jelas bahawa perlindungan terhadap pelaku bukan lagi satu pilihan.
Bagaimanapun, tindakan tegas semata-mata tidak mencukupi. Dasar ‘sifar buli’ perlu ditambah baik dengan pelaksanaan program pendidikan emosi dan latihan empati.
Sekolah tidak boleh hanya mewajibkan tindakan disiplin—ia harus membantu pelajar memahami impak emosi mangsa, membentuk kesedaran sosial dan memupuk rasa hormat antara satu sama lain.
Ibu bapa, pendidik dan komuniti perlu digerakkan agar menjadi pembentuk nilai positif sejak kecil. Pendidikan sahsiah, kaunseling dan pendekatan empati antara pelajar perlu diarusperdanakan.
Buli bukan soal kenakalan remaja, ia adalah bentuk kekerasan yang membina trauma jangka panjang.
Jika kita masih melihatnya sebagai kes terpencil atau urusan dalaman sekolah, maka kita sedang menyemai keganasan lebih besar dalam sistem.
MRSM bukan sekadar institusi akademik elit — ia tapak lahirnya pemimpin masa depan negara.
Jika tapak itu sendiri telah tercemar dengan budaya buli, kita bukan sahaja gagal mendidik tetapi turut mencipta generasi pincang nilai dan empati.
Jangan biar lagi ada anak-anak yang masuk MRSM dengan harapan tetapi keluar bersama luka dan trauma berpanjangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
