Kes buli MRSM: Mangsa kedua buat laporan, dua pelajar lagi ditahan

Polis menerima laporan kedua daripada seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian yang sama. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azamuddin)
Polis menerima laporan kedua daripada seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian yang sama. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azamuddin)
A
A
A

BESUT – Dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditahan bagi membantu siasatan kes buli melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah MRSM di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihak polis menerima laporan kedua daripada seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian yang sama.

Menurutnya, laporan itu dibuat pada jam 3.58 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada Khamis.

“Mangsa kedua turut memaklumkan bahawa dia telah dibuli oleh pelajar-pelajar yang sama dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 malam, 24 Jun lalu di asrama putera MRSM Besut.

“Mangsa mengalami kesakitan di bahagian kaki kanan dan kiri,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek lelaki masing-masing berusia 15 tahun itu ditahan pada jam 4 petang Jumaat selepas hadir bersama keluarga di IPD Besut.

Menurutnya, permohonan reman terhadap kedua-dua pelajar akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Sabtu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sebelum ini, lima pelajar lain berusia antara 15 hingga 17 tahun telah direman selama tiga hari bermula Jumaat selepas dipercayai terlibat dalam kejadian buli terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Azamuddin berkata, kejadian dipercayai berlaku di asrama putera pada jam 11.30 malam, Selasa lalu dan disedari oleh warden bertugas.

“Mangsa mendakwa diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit.

“Mangsa turut mendakwa ditumbuk di bahagian perut dan ditampar oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Sementara itu, susulan insiden berkenaan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil tindakan tegas dengan membuang kesemua enam pelajar yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian buli tersebut.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap pelaku buli di mana-mana institusi pendidikan di bawah agensi itu.

“Semua enam pelajar MRSM di Terengganu yang didapati membuli secara fizikal telah diarahkan keluar daripada maktab. Tiada kompromi atas apa jua alasan. #YouTouchYouGo,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!