Hidupkan semula acara tradisi panjat batang pinang

TEMERLOH - Selepas hampir dua dekad, acara tradisi memanjat batang pinang licin kembali menggamatkan Kampung Batu Kapor di sini sempena Pesta Sukan Rakyat 2025 pada Sabtu.
Program yang sinonim dengan masyarakat luar bandar itu mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menarik ribuan pengunjung dari pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak, remaja dan warga emas untuk bersama-sama memeriahkan acara sukan rakyat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu Kapor, Mohd Marizie Sohaimi berkata, acara berkenaan pernah menjadi tradisi tahunan namun sudah hampir 20 tahun tidak dianjurkan akibat beberapa faktor termasuk perubahan kepimpinan serta kekangan dana.

"Tahun ini kita jadikan permulaan baharu. Sambutan sangat menggalakkan dan apa yang membanggakan ialah majoriti penaja hadiah datang daripada penduduk kampung sendiri," katanya.

"Antara acara tumpuan sudah tentu panjat batang pinang licin yang menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti wang tunai, gitar, pakaian dan barangan elektrik," ujarnya.

Perasmian pesta terbabit disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli.
Sebanyak tiga batang pinang disediakan bagi acara tradisi berkenaan termasuk untuk kategori kanak-kanak.

Salah seorang penduduk, Suhairi Wahab, 35, meluahkan rasa syukur kerana acara tradisi itu akhirnya kembali dianjurkan selepas lama terhenti.

"Seingat saya, sudah lama acara batang pinang ini tidak diadakan dan kali ini sambutan sangat meriah. Hadiah pun banyak, orang kampung ramai datang sokong," katanya yang pernah mencuba panjat batang pinang semasa remaja dan kini kembali mencuba nasib.

Turut berkongsi keterujaan ialah seorang lagi penduduk, Muhammad Fatah Yaakob, 30 yang pertama kali menyertai acara tersebut.
"Memang seronok. Ini kali pertama saya sertai sukan kampung macam ni. Rasa macam satu keluarga besar, semua mesra dan meriah. Sasaran saya? Mestilah gitar!" katanya sambil tersenyum.

Acara tersebut turut menarik penyertaan peserta bukan Melayu, P Dorasamy, 40 yang tidak ketinggalan memanjat batang pinang.

“Saya orang India tapi memang seronok campur dengan orang Melayu. Semua orang mesra. Ini kali pertama saya cuba panjat batang pinang dan tarik tali. Seronok sangat,” katanya.
Pelbagai acara lain juga disediakan buat pengunjung antaranya tarik tali, menganyam ketupat, memancing, pancing botol dan pertandingan memasak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

