TYT mahu semua institusi perkukuh peranan bentuk komuniti harmoni

BAYAN LEPAS - Semua institusi termasuk masjid, surau, sekolah, pusat pengajian dan keluarga digesa terus memperkukuh peranan masing-masing dalam membentuk komuniti yang harmoni, bersatu padu dan berlandaskan ajaran Islam.
Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT) Tun Ramli Ngah Talib berkata, cabaran semasa yang dihadapi umat Islam termasuk kemelut sosial, jurang ekonomi, ancaman alam sekitar dan gejala digital dilihat agak membimbangkan.
"Cabaran-cabaran ini menuntut kekuatan jati diri serta kesatuan ummah dalam menghadapinya. Ini agak membimbangkan.
"Oleh itu, usaha membangunkan ummah Madani harus bermula dari rumah, tempat di mana kelembutan suara seorang ibu dan ketegasan seorang ayah menjadi tunjang dalam memberikan pendidikan nilai yang berpaksikan akhlak Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Turut hadir, isteri TYT, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan isteri, Datin Noraini Abdul Jalil.
Tambah Ramli, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memenuhi keperluan kalendar tahunan semata-mata, sebaliknya menjadi wahana penting dalam menghidupkan semula semangat penghijrahan besar yang pernah dilalui Rasulullah SAW bersama para sahabat dalam usaha menegakkan syiar Islam.
“Marilah kita sama-sama menghayati setiap hikmah tersurat dan tersirat daripada peristiwa agung hijrah ini sebagai panduan dalam membina sebuah pentadbiran yang berpaksikan iman, ilmu dan Islam.
Menurut Ramli, detik awal Muharam harus dijadikan medan untuk memohon keberkatan dan petunjuk Ilahi dalam menempuh cabaran kehidupan, manakala penghujung tahun pula sebagai titik muhasabah menilai amal dan memperbaiki kekurangan diri.
"Tema sambutan tahun ini iaitu 'Membangun Ummah Madani' yang mana konsep hijrah yang dibawa bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi melibatkan transformasi akidah, akhlak dan pemikiran dalam membentuk masyarakat berdaya tahan, berintegriti serta berpaksikan nilai-nilai murni.
“Hijrah sebenar ialah penghijrahan hati dan sikap, daripada mementingkan diri kepada budaya menyantuni sesama insan, daripada kelalaian kepada kesedaran dan daripada menjauhkan diri kepada mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” ujarnya.
Beliau menambah, sambutan Maal Hijrah di Pulau Pinang membuktikan bahawa walau pun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya, Islam tetap dapat disambut dalam suasana penuh keharmonian dan saling menghormati.
“Inilah antara keistimewaan bumi Pulau Pinang yang sentiasa mekar dengan semangat toleransi, hormat-menghormati dan kerjasama merentas perbezaan.
Mengulas lanjut mengenai gagasan Malaysia Madani, Ramli berkqta, ia berlandaskan enam konsep utama iaitu kemanfaatan, kesediaan, daya cipta, hormat, keyakinan dan keikhlasan yang sangat bertepatan dengan keperluan negeri ini ke arah menjadi negeri maju, progresif dan sejahtera.
"Pembangunan negeri tidak boleh hanya bergantung kepada kemajuan fizikal semata-mata, tetapi perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah insan, penghargaan nilai kemanusiaan dan penerapan akhlak mulia dalam kalangan generasi muda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

