Trump sahkan perjanjian perdagangan AS-China dimeterai pada Rabu

Trump Foto AFP
Trump Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesahkan bahawa negara itu telah memeterai perjanjian perdagangan dengan China.

"Ya, kami baru sahaja menandatangani perjanjian dengan China semalam, bukan? Baru tandatangan dengan China," katanya dalam acara One Big Beautiful Bill di Rumah Putih pada Khamis, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), meskipun butiran perjanjian itu belum diumumkan secara rasmi.

Beliau menambah bahawa perjanjian tersebut menandakan langkah awal dalam usaha membuka pasaran China, sambil menyatakan: "Dalam perjanjian China, kami telah mula mendapat akses ke pasaran China. Sesuatu yang sebelum ini tidak mungkin berlaku.”

Awal bulan ini, pegawai AS dan China telah mengadakan rundingan mengenai tarif di London.

AS sebelum ini mengenakan tarif besar terhadap barangan import dari China pada April, namun kedua-dua negara bersetuju menarik semula sebahagian tarif itu secara sementara selama 90 hari bermula Mei lalu.

Trump turut memberi bayangan tentang kemungkinan perjanjian perdagangan baharu dengan India.

"Kami sedang usahakan beberapa perjanjian yang baik. Antaranya, mungkin dengan India - perjanjian yang sangat besar iaitu kami akan membuka pasaran India,” katanya.

Presiden AS itu juga menyatakan bahawa kutipan tarif telah menjana pendapatan sebanyak AS$88 bilion, menyifatkannya sebagai "sesuatu yang indah.”

Dalam acara sama, beliau turut mempromosikan pakej reformasi cukai dan perbelanjaan yang diterajui Parti Republikan, dikenali sebagai One Big Beautiful Bill, serta menyifatkannya sebagai "satu daripada rang undang-undang paling penting dalam sejarah negara.”

Artikel Berkaitan:

Rang undang-undang itu dikatakan akan "mengukuhkan sempadan negara, melonjakkan ekonomi, dan mengembalikan impian Amerika.”

Ia telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan bulan lalu dengan majoriti tipis, dan kini sedang dirangka semula oleh Senator Republikan sebelum dihantar kembali untuk kelulusan akhir.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, memberitahu pemberita bahawa Trump menjangkakan rang undang-undang itu akan diserahkan kepadanya untuk ditandatangani sebelum 4 Julai. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!