10 laut purba kini jadi gurun gersang

A
A
A

BENTUK muka bumi sentiasa berubah dan berkembang hasil aktiviti geologi yang dinamik, pergerakan benua serta perubahan iklim. Transformasi berterusan sejak jutaan tahun lalu telah menyebabkan banyak lautan purba mengering. Penemuan fosil dan mendapan garam dalam batuan menerusi kajian para saintis moden menjadi bukti kukuh tentang kewujudan lautan purba tersebut. Berikut merupakan 10 gurun yang suatu ketika dahulu ialah laut purba.

1. Gurun Sahara (Afrika)

No Image Caption

Kira-kira 100 juta tahun lalu, Sahara tenggelam di bawah Laut Tethys. Fosil paus purba, jerung dan hidupan marin lain masih ditemui di Gurun Barat, Mesir serta Tapak Warisan Dunia UNESCO, Wadi al-Hitan (Lembah Paus). Kewujudan batu kapur, cengkerang dan terumbu karang purba turut membuktikan ia pernah menjadi lautan yang terbentang luas.

2. Gurun Arab (Asia Barat)

No Image Caption

Ia merentasi Arab Saudi, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kawasan ini pernah dilitupi laut cetek yang bersambung dengan Lautan Hindi. Daratan tersebut beransur-ansur meningkat akibat pergerakan plat tektonik hingga mengakibatkan air laut akhirnya surut. Kini, dataran garam serta batuan sedimen marin menjadi saksi kepada sejarah maritimnya.

3. Gurun Mojave (Amerika Utara)

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Kawasan terletak di California, Amerika Syarikat (AS) ini pernah menjadi sebahagian daripada laut pedalaman yang luas. Suatu ketika dulu, ia pernah mempunyai Tasik Manlu dan Tasik Mohave. Kini, kesan tasik kering, fosil hidupan akuatik dan lapisan garam tebal menjadi bukti jelas kewujudan air pada masa lalu selain kaya dengan kehidupan.

4. Gurun Kalahari (Afrika Selatan)

No Image Caption

Ia merupakan dasar tasik purba yang sangat luas di selatan Afrika. Makgadikgadi Pan, salah satu dataran garam terbesar di dunia ialah sisa tasik purba tersebut. Ketika tasik itu masih wujud, ia menyokong pelbagai hidupan akuatik. Namun, perubahan iklim menyebabkan air mengering dan kawasan itu berubah menjadi savana berpasir serta gurun.

5. Gurun Great Victoria (Australia)

No Image Caption

Kawasan ini pernah menjadi sebahagian daripada laut cetek. Penemuan fosil marin dan batuan sedimen di utara Australia Selatan menunjukkan bahawa ia pernah diliputi laut. Apabila paras laut menurun dan iklim berubah, wilayah tersebut bertukar menjadi tasik air masin dan gurun dengan bukit pasir merah.

6. Gurun Gobi (Asia Tengah)

No Image Caption

Kira-kira ratusan juta tahun lalu, kawasan ini terbentang di selatan Mongolia dan utara China ini pernah menjadi laut cetek berdasarkan penemuan fosil hidupan akuatik, batu kapur dan sedimen laut. Tetapi aktiviti tektonik dan perubahan iklim menjadikannya gurun kering.

7. Gurun Karakum (Turkmenistan)

No Image Caption

Kawasan ini sebahagian daripada laut pedalaman di Asia Tengah kira-kira puluhan juta tahun lalu. Pergerakan tektonik dan pengeringan beransur-ansur menyebabkan laut surut lalu membentuk dataran garam dan gurun pasir. Fosil invertebrata, endapan garam tebal dan batu kapur mengesahkan kewujudannya.

8. Gurun Kyzylkum (Asia Tengah)

No Image Caption

Jutaan tahun lalu, ia merupakan sebahagian daripada laut pedalaman purba di Asia Tengah. Pergerakan plat tektonik dan perubahan iklim menyebabkan laut ini mengering hingga meninggalkan dataran garam dan pasir. Endapan garam dan fosil hidupan laut purba masih ditemui di kawasan gurun tandus meliputi Uzbekistan dan Kazakhstan ini.

9. Gurun Atacama (Chile)

No Image Caption

Kawasan ini adalah sebahagian daripada perairan cetek purba berdasarkan penemuan fosil laut dan sedimen. Tetapi, aktiviti tektonik, pembentukan Pergunungan Andes dan perubahan iklim menjadikannya gurun paling kering di dunia. Landskapnya dicirikan oleh bukit pasir merah, lembah batuan dan tasik masin. Sesetengah kawasan tidak menerima hujan selama puluhan tahun.

10. Gurun Thar (Asia Selatan)

No Image Caption

Jutaan tahun lalu, ia pernah menjadi laut dangkal purba sebelum benua India bertembung dengan Asia. Pergerakan tektonik menaikkan daratan, laut surut, dan perubahan iklim menjadikan kawasan merentasi India dan Pakistan ini gurun tandus yang luas. Beberapa fosil cengkerang dan batuan sedimen marin serta endapan garam ditemui di beberapa kawasan yang menunjukkan adanya persekitaran laut cetek.

 

 

Ringkasan AI

  • Bentuk muka bumi berubah akibat aktiviti geologi, pergerakan benua, dan perubahan iklim, menyebabkan banyak lautan purba mengering
  • Gurun Sahara pernah merendam di bawah Laut Tethys kira-kira 100 juta tahun lalu dengan fosil paus purba dan terumbu karang sebagai bukti
  • Gurun Arab merupakan bekas laut cetek yang kini menjadi dataran garam dan batuan sedimen marin akibat pergerakan plat tektonik
  • Gurun Mojave dahulunya adalah laut pedalaman di Amerika Syarikat, kini kesan tasik kering dan fosil hidupan akuatik menunjukkan sejarah airnya
  • Perubahan iklim dan aktiviti tektonik menyebabkan gurun seperti Gobi dan Karakum terbentuk dari laut czyetak yang mengering

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!