Dua tragedi air mata

Mohd Shah imbau detik trauma kren tumbang, rempuhan Mina pada musim haji 2015

MUSIM haji 2015 berlaku dua tragedi air mata iaitu insiden kren tumbang di Masjidil Haram dan rempuhan Mina. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
MUSIM haji 2015 berlaku dua tragedi air mata iaitu insiden kren tumbang di Masjidil Haram dan rempuhan Mina. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
A
A
A

MUSIM haji 2015 bukan sekadar perjalanan ibadah buat Mohd Shah Che Ahmad, tetapi satu episod hitam yang menguji ketabahan dan keimanannya apabila dua tragedi besar berlaku sehingga meragut banyak nyawa.

Beliau salah seorang daripada jutaan jemaah haji pada musim itu menjadi saksi insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Arab Saudi dan rempuhan di Mina.

MOHD SHAH -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD
MOHD SHAH -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD

Kedua-dua tragedi itu meninggalkan parut yang tidak akan pernah sembuh dan menjadi kenangan sepanjang hayat.

Kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September 2015 meragut lebih 111 nyawa termasuk tujuh jemaah Malaysia, diikuti rempuhan di Mina kurang dua minggu kemudian yang mengorbankan lebih 2,000 jemaah dari seluruh dunia.

“Saya lalui musim haji penuh ujian. Belum sempat tenang dengan satu tragedi, datang pula yang kedua.

“Masa itu, saya hanya mampu berdoa agar urusan ibadah kami dipermudahkan,” ceritanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ribut pasir jadi ‘penyelamat’

Artikel Berkaitan:

Ketika kren besi seberat ratusan tan itu menyembah bumi dan menghempap sebahagian kawasan Masjidil Haram, Mohd Shah, 37, berada di lobi Hotel Abraj Al-Janadriyah, penginapan muassasah Lembaga Tabung Haji (TH), sekitar satu kilometer dari Masjidil Haram.

Waktu itu, beliau berada di lobi hotel untuk ke masjid menunaikan solat Asar. Namun, ketentuan ALLAH mendahului segala perancangan.

KEADAAN ribut pasir yang menjejaskan pandangan berakhir dengan tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan 111 nyawa. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD
KEADAAN ribut pasir yang menjejaskan pandangan berakhir dengan tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan 111 nyawa. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD

“Kami nak bergerak ke masjid, tapi tiba-tiba ribut pasir datang.

“Petugas TH minta kami tunggu sebentar walaupun kami sudah bersiap. Tak sangka, itulah penyelamat kami,” jelas beliau.

Namun, tidak semua bernasib baik. Jiran selang dua bilik dari tempat penginapan Mohd Shah kehilangan ahli keluarga dalam tragedi itu.

Lebih menyayat hati, jirannya sempat berkongsi bagaimana pengalaman ngeri apabila percikan darah dan cebisan daging insan tersayang terkena wajahnya sendiri.

“Bayangkan berdiri di sisi orang yang kita sayang, tiba-tiba dagingnya ‘terbang’ dan darahnya terpercik ke muka. Dia trauma, hanya mampu menangis, matanya terbeliak tanpa kata.

“Saya pula hanya mampu beristighfar berkali-kali mendengar kisahnya,” ujarnya.

Meskipun suasana panik menyelubungi, Mohd Shah memuji kecekapan pasukan keselamatan Arab Saudi yang segera membersihkan kawasan kejadian.

“Malam itu juga, solat Maghrib dapat diteruskan di Masjidil Haram meskipun suasana masih suram.

“Solat malam itu terasa lain. Imam baca surah-surah pendek. Rasa macam berada di medan ujian, tapi hati tetap dikuatkan sebab tempat yang terlalu mulia untuk ditinggalkan,” katanya.

SUASANA malam selepas berlakunya tragedi kren tumbang di Masjidil Haram dan hujan lebat. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD
SUASANA malam selepas berlakunya tragedi kren tumbang di Masjidil Haram dan hujan lebat. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD

Rezeki terpilih jadi tetamu ALLAH

Apa yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Mohd Shah mengakui, beliau tidak menyangka akan menunaikan haji pada tahun itu.

Katanya, panggilan yang diterima merupakan satu kejutan apabila namanya terpilih hanya seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Terkejut bila nama ‘naik’, tapi saya sangat teruja. Masa itu, berat juga hati nak tinggalkan keluarga hampir dua bulan.

“Anak sulung saya baru berusia empat bulan ketika itu, tapi bila ALLAH dah pilih, saya tak sanggup tolak peluang itu,” katanya.

Urusan persiapan dilakukan dalam masa amat singkat. Mujur beliau pernah dua kali menunaikan umrah dan sempat mengikuti kelas-kelas intensif untuk memahami rukun haji.

Namun, tidak ada kelas yang mampu benar-benar mempersiapkan hati untuk menghadapi cabaran sebenar di Tanah Suci.

PETUGAS Tabung Haji dan Sahabat Tabung Haji sibuk membuat semakan jemaah Malaysia. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD
PETUGAS Tabung Haji dan Sahabat Tabung Haji sibuk membuat semakan jemaah Malaysia. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD

“Tak siapa sangka haji saya akan dilakar dengan dua tragedi besar, tapi di situlah saya belajar tentang sabar, reda dan betapa kecilnya kita di sisi ALLAH,” ungkapnya.

Ujian bukan untuk ditakuti

Dalam pada itu, Mohd Shah berpendapat, persepsi sesetengah pihak yang menganggap Tanah Suci sebagai tempat penuh ujian hingga menimbulkan ketakutan untuk menjejakkan kaki ke sana perlu diperbetulkan.

Menurut perspektifnya, ujian di Tanah Suci tidak harus dijadikan alasan untuk menjauh, sebaliknya, ia adalah ruang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan memperbaiki diri.

“Ujian itu bukan kerana kita ke Tanah Suci semata-mata. Mungkin ALLAH sedang memberi peringatan agar kita kembali kepada-NYA, bertaubat dan bermuhasabah diri,” ungkapnya.

MOHD SHAH (kanan) sempat merakam gambar dengan latar belakang kren runtuh di Masjidil Haram yang meninggalkan kesan mendalam terhadap jemaah haji termasuk dirinya. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD
MOHD SHAH (kanan) sempat merakam gambar dengan latar belakang kren runtuh di Masjidil Haram yang meninggalkan kesan mendalam terhadap jemaah haji termasuk dirinya. -Foto: IHSAN MOHD SHAH CHE AHMAD

Baginya, setiap manusia punya ujian masing-masing. Ia bukan semestinya petanda keburukan, malah mungkin menjadi jalan hidayah.

Apatah lagi, katanya, Makkah dan Madinah ialah bumi mulia, bukan tempat untuk ditakuti, tetapi destinasi untuk mencari keberkatan.

“Sangat rugi kalau kita takut nak ke Makkah atau Madinah. Itu bumi para anbia. Penuh ganjaran dan keberkatan. Jangan kerana takut, kita hilang peluang itu.

“Tanah Haram bukan tempat menakutkan, tapi ruang untuk mengenal ALLAH. Ujian itu lumrah dan selalunya, ia menjadikan kita insan yang lebih baik,” titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!