44 projek sekolah di Johor perlu tindakan segera

Ahmad (kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Gantian Kantin dan Kemudahan Lain di SK Parit Patah, Pontian pada lKhamis.
Ahmad (kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Gantian Kantin dan Kemudahan Lain di SK Parit Patah, Pontian pada lKhamis.
A
A
A

PONTIAN – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti 44 projek sekolah dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di negeri ini antara 222 projek yang masih tertangguh.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN ) Johor mengenai perkara tersebut yang melibatkan pelbagai projek termasuk pembinaan sekolah baharu, sekolah daif dan sebagainya.

Jelas beliau, antara punca kelewatan dikenal pasti termasuk isu pengambilan balik tanah, pemindahan utiliti dan beberapa faktor teknikal lain yang mengganggu proses pelaksanaan.

“Saya minta JPN Johor dan JKR Negeri Johor segera mengadakan perbincangan bersama bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu ini.

“Bagi projek di bawah KPM, JPN Johor dan JKR Johor diminta segera mengadakan perbincangan atau mesyuarat bagi mengenal pasti projek-projek yang tertangguh itu dengan kadar segera.

"Bagi projek-projek sekolah, JKR adalah agensi pelaksananya kerana mempunyai kepakaran teknikal yang mencukupi bagi pembinaan bangunan dan sebagainya,” katanya.

Beliau ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Gantian Kantin dan Kemudahan Lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Patah, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah JPN Johor, Mohd Hanafi Samad; Penguasa JKR Johor, Ir. Mohd Isa Sulaiman; Jurutera Daerah JKR Pontian, Ir. Saharuddin Ismail serta Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Abd Rahman Salleh.

Projek gantian kantin bernilai RM1.5 juta itu mula dibina pada Julai 2023 dan siap sepenuhnya Februari lalu, bagi menggantikan bangunan lama yang berusia lebih 40 tahun.

Artikel Berkaitan:

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, selain projek pendidikan, pelbagai lagi projek pembangunan lain turut tergendala termasuk pembinaan jambatan, klinik kesihatan, hospital dan balai polis.

“Saya harap ketua-ketua jabatan yang terlibat mengenal pasti segera projek di bawah seliaan masing-masing supaya ia dapat dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Jika dibiarkan terlalu lama, kos pelaksanaan boleh meningkat dan menuntut tambahan peruntukan kerajaan,” ujarnya.

Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan terdapat 222 projek tertangguh di negeri ini sejak 2016 melibatkan nilai lebih RM10 bilion yang kini masih berada pada peringkat pra pelaksanaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!