Keputusan SMU, SMTQ 2024 menurun 4.98 peratus

Wan Roslan (kiri) menyampaikan slip peperiksaan kepada Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lilbanat, Hafizah Abdullah (tengah). FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Wan Roslan (kiri) menyampaikan slip peperiksaan kepada Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lilbanat, Hafizah Abdullah (tengah). FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) 2024 mencatatkan penurunan 4.98 peratus dengan hanya 4,952 calon atau 92.18 peratus lulus, berbanding 97.16 peratus pada tahun sebelumnya.

Daripada keseluruhan 5,402 calon yang menduduki tiga peperiksaan awam kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), seramai 5,278 calon menduduki peperiksaan SMU, 94 calon SMTQ dan 30 calon bagi Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP).

Sebanyak 625 calon memperoleh Mumtaz, berbanding 907 calon 2023, manakala bilangan pelajar yang cemerlang atau semua Mumtaz dalam semua mata pelajaran turut merosot kepada 90 berbanding 128 calon pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bagi STUP, hanya 26 calon lulus daripada 30 orang dengan peratus kelulusan menurun kepada 86.67 peratus berbanding 91.84 peratus pada 2023.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, antara faktor utama penurunan mendadak prestasi itu berikutan pertukaran sukatan pelajaran baharu Kurikulum Bersepadu Dini (KBD).

“Kami sendiri memang terasa dengan penurunan mendadak pelajar lulus.

“Ini ada kaitan isu teknikal dan akhirnya buku teks serta format soalan yang baharu, diterima lewat kira-kira lapan bulan sebelum diedarkan kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU, SMTQ dan STUP 2024 di Kompleks Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Tunjong di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman.

Artikel Berkaitan:

Wan Roslan FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Wan Roslan FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Wan Roslan, kelewatan itu menyebabkan pelajar tidak dapat membuat persediaan secukupnya menjelang peperiksaan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, prestasi peperiksaan YIK sebelum ini sentiasa menunjukkan peningkatan, namun buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, keputusan tahun lalu menunjukkan penurunan ketara.

“Setiap tahun kita meningkat. Tahun ini agak mengejutkan, apabila berlaku penurunan hingga 4.98 peratus.

“Tapi kami yakin prestasi akan kembali meningkat tahun ini kerana semua sekolah sudah mula bersedia awal dengan silibus baharu,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!