STPM 2024: Tujuh calon di Johor raih 5A, PNGK negeri atasi kebangsaan

JOHOR BAHRU – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 menyaksikan tujuh calon di Johor berjaya meraih keputusan cemerlang 5A, iaitu pencapaian tertinggi dalam peperiksaan berprestij tersebut.
Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, bagi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) pula, Johor mencatatkan purata sebanyak 2.95, melebihi PNGK kebangsaan iaitu 2.85.
“Lebih membanggakan, PNGK Johor telah mengatasi PNGK kebangsaan untuk lima tahun berturut-turut.
“Seramai 3,952 calon berdaftar dengan kadar kehadiran 97.60 peratus atau 3,857 calon. Daripada jumlah itu, tujuh calon memperoleh keputusan 5A dan 167 calon mendapat 4A,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, seramai 170 calon (4.41 peratus) berjaya memperoleh PNGK maksimum 4.00, manakala 516 calon (13.38 peratus) mendapat PNGK 3.75 ke atas.
“Selain itu, 1,464 calon (37.96 peratus) memperoleh PNGK 3.00 ke atas, 532 calon (13.79 peratus) meraih PNGK 2.75 ke atas, dan 1,091 calon (28.29 peratus) mencapai PNGK 2.00 ke atas,” katanya.
Menurutnya lagi, calon aliran Sains Sosial mencatat jumlah tertinggi iaitu 3,472 orang (90.02 peratus), manakala 385 calon (9.98 peratus) terdiri daripada aliran Sains.
“Secara keseluruhan, 77.91 peratus atau 3,005 calon di Johor berjaya lulus penuh,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua guru, ibu bapa dan pelajar atas usaha gigih dan kerjasama yang membawa kepada pencapaian membanggakan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


