Taska Kemas laksana modul hafazan al-Quran seawal usia tiga tahun

Rozi (tiga dari kiri) bersama Idris (empat dari kiri) mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh seorang kanak-kanak sempena majlis perasmian Program Thalatha Tis’a anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Taska Kemas 2 Setia, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, pada Rabu. FOTO: Media Penerangan Umno- Terengganu
Rozi (tiga dari kiri) bersama Idris (empat dari kiri) mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh seorang kanak-kanak sempena majlis perasmian Program Thalatha Tis’a anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Taska Kemas 2 Setia, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, pada Rabu. FOTO: Media Penerangan Umno- Terengganu
A
A
A

DUNGUN - Program Thalatha Tis’a yang diperkenalkan di tiga buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Terengganu memberi peluang kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran sebelum mencecah usia sembilan tahun.

Pengerusi Komuniti Kemas Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, seramai 100 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun terpilih menyertai program perintis itu yang bermula sejak Februari lalu.

Menurutnya, pendekatan itu dilihat mampu melahirkan generasi celik al-Quran sejak kecil dan menjadi permulaan kepada sistem pendidikan tahfiz yang lebih tersusun.

“Kita menggunakan modul dari Indonesia dan dibantu tiga tenaga pengajar dari sana yang berpengalaman dalam bidang al-Quran untuk melatih guru Taska Kemas.

“Matlamat utama program ini adalah agar kanak-kanak mampu menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran menjelang usia sembilan tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Thalatha Tis’a anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Taska Kemas 2 Setia, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Kemas Terengganu, Dr Faridah Mat; Penaung Program Thalatha Tis’a, Tan Sri Idris Jusoh dan Pengerusi Komuniti Kemas Parlimen Dungun, Datuk Din Adam.

Rozi berkata, dua lagi Taska yang turut melaksanakan program perintis itu ialah Taska Kemas PPAK GONG Kemas di Besut dan Taska Kemas PAKR Kuala Telemong di Hulu Terengganu.

“Kita menyasarkan supaya setiap kawasan Parlimen di Terengganu mempunyai sekurang-kurangnya satu Taska yang melaksanakan program ini menjelang tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan memohon kepada kementerian supaya program ini dapat diperluas ke lebih banyak Taska Kemas di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, selain fokus kepada hafazan, program turut memberi penekanan terhadap kemahiran membaca, menulis, bahasa Arab dan asas komunikasi yang seimbang untuk kanak-kanak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!