Kes Ismail Sabri: SPRM mohon lucut hak RM170 juta

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.
“Kes ini telah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat sebarang pertuduhan jenayah yang membabitkan Datuk Seri Ismail Sabri.
“Setakat ini, TPR telah bersetuju supaya proses untuk melucut hak aset yang dirampas difailkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi selepas afidavit dikemukakan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada Rabu.
Azam berkata, aset yang akan dilucut hak adalah seperti yang telah ditunjukkan kepada wartawan semasa sidang akhbar pada Mac lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini SPRM belum memutuskan sebarang pertuduhan jenayah terhadap Ismail Sabri.
“Ketika ini, terpulang kepada beliau untuk mencabar proses melucut hak aset yang dirampas itu di mahkamah,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap bekas menantu Ismail Sabri, Jovian Mandagie, juga telah selesai.
Jelas beliau, siasatan terhadap Jovian adalah berkaitan dengan salah satu aset utama dalam kes tersebut, namun penglibatannya adalah sebagai saksi.
“SPRM kini berada di peringkat menyempurnakan kertas siasatan dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.
“Seterusnya, kes ini akan dikemukakan kepada TPR untuk mendapatkan arahan dan cadangan keputusan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
