SPRM mohon lucut hak Menara Ilham milik Tun Daim

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan permohonan melucut hak Menara Ilham milik Allahyarham Tun Che Abdul Daim Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Tun Daim Zainuddin pada Rabu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan melucut hak ke atas bangunan tersebut yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau berkata, berhubung tindakan lucut hak Menara Ilham dan harta lain milik Allahyarham Tun Daim, SPRM akan memfailkan beberapa dokumen berkaitan.
Kata beliau, pihak siasatan SPRM perlu menyediakan pelbagai fakta untuk difailkan berhubung melucut hak Menara Ilham.
Menurut beliau, beberapa aset lain juga akan dimohon untuk dilucut hak dalam tempoh terdekat.
"Bagi tindakan melucut hak harta tak alih membabitkan Menara Ilham, tindakan sedang dilakukan melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Permohonan pelucuthakkan tanpa pendakwaan Menara Ilham dilakukan di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
"Perkara ini bagaimanapun bukan sesuatu yang mudah memandangkan perlu melalui banyak proses selain dokumen berkaitan Menara Ilham juga adalah tebal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan harta Allahyarham Tun Daim di luar negara, Azam berkata, pihak berkuasa di United Kingdom (UK) telah melaksanakan arahan pembekuan ke atas aset milik bekas Menteri Kewangan tersebut.
Jelasnya, pihak berkuasa UK bersetuju dengan permohonan yang dikemukakan oleh SPRM sebelum ini berhubung aset milik Allahyarham Tun Daim di negara itu.
Katanya, permohonan itu telah difailkan oleh SPRM di mahkamah pada 5 Jun lalu membabitkan seluruh harta bekas pemimpin negara itu yang dianggarkan berjumlah RM700 juta.
Tambahnya, terdapat pindaan terhadap beberapa perkara dan ia telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa UK.
Menurutnya, pihak berkuasa UK meneruskan tindakan pembekuan harta berdasarkan apa yang dipohon oleh SPRM.
"Pada Selasa, pihak berkuasa UK ada memfailkan 'restraining order' dan bersetuju dengan permohonan kita (SPRM).
"Pihak defenden ada melakukan pencelahan berhubung kes ini, namun ia dilakukan untuk meminta mahkamah mendengar berhubung kes pengurusan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
