[VIDEO] Lelaki langgar kereta warga emas tiga kali didenda RM13,000

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dihukum denda keseluruhan RM13,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan melanggar kenderaan milik warga emas sebanyak tiga kali serta memandu secara berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50, yang juga penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat pada 22 Jun lalu, kira-kira jam 3.10 petang dengan sengaja melanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM15,300.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Susur 6, Jalan Tun Abdul Razak di sini dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

Menurut fakta kes, tertuduh melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa sekali, diikuti bahagian hadapan sebanyak dua kali sebelum melarikan diri. Kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan mangsa.

Susulan laporan yang dibuat oleh pengadu pada hari yang sama, polis menahan tertuduh kira-kira jam 6.30 petang pada Isnin.

Pada masa sama, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira jumlah kerugian yang dialami pengadu.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman diringankan atas alasan tidak bekerja, tiada punca pendapatan tetap serta menanggung seorang isteri dan tujuh orang anak.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyesal akan perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulanginya,” katanya.

Tangkap layar tular sebuah pacuan empat roda melanggar sebuah kereta di Jalan Tun Razak Johor Bahru.
Tangkap layar tular sebuah pacuan empat roda melanggar sebuah kereta di Jalan Tun Razak Johor Bahru.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM7,500 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Fatin Mohd Fatrid, tertuduh didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda (4x4) bernombor pendaftaran WVJ 5200 tanpa cermat dan perhatian sewajarnya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Mahkamah juga boleh mengendors lesen memandu dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, tertuduh akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu dan lesen percubaan pula boleh dibatalkan oleh mahkamah.

Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman denda RM5,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Kes ini turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!