Pemandu pacuan empat roda langgar kereta dipandu warga emas tiga kali

Tangkap layar tular sebuah pacuan empat roda melanggar sebuah kereta di Jalan Tun Razak Johor Bahru.
Tangkap layar tular sebuah pacuan empat roda melanggar sebuah kereta di Jalan Tun Razak Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun ditahan polis selepas terlibat dalam kejadian khianat terhadap sebuah kenderaan dan memandu secara gopoh di Susur 6, Jalan Tun Razak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian pada kira-kira jam 3.10 petang, Ahad lalu.

“Siasatan awal mendapati, mangsa seorang lelaki warga emas berumur 63 tahun sedang memandu kereta jenis Perodua Axia dan memperlahankan kenderaannya kerana terlepas simpang.

“Suspek yang memandu sebuah Toyota Hilux dari arah belakang telah bertindak memotong mangsa secara agresif sebelum berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak.

“Suspek kemudian bertindak melanggar kereta mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kerosakan kenderaan milik mangsa bernilai RM15,300,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkait kesalahan jenayah namun tiada rekod dikehendaki.

Sementara, saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah.

“Suspek akan dibawa untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan pada Selasa di Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Raub, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemanduan cuai dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323,” katanya.

Sebelum itu tular video 8 saat memaparkan sebuah pacuan empat roda melanggar sebuah kereta berulang kali sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!