Warga emas nekad pandu bot baharu dari Dungun ke Kelantan melalui laut

Tindakan seorang warga emas mengemudi bot fiber yang baharu dibeli di sebuah kedai di Dungun, Terengganu dan membawanya pulang melalui laluan laut ke Kelantan mencuri perhatian warganet sejak Rabu. Foto tular
Tindakan seorang warga emas mengemudi bot fiber yang baharu dibeli di sebuah kedai di Dungun, Terengganu dan membawanya pulang melalui laluan laut ke Kelantan mencuri perhatian warganet sejak Rabu. Foto tular
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang warga emas mengemudi bot fiber yang baharu dibeli di sebuah kedai di Dungun, Terengganu dan membawanya pulang melalui laluan laut ke Kelantan mencuri perhatian warganet sejak Rabu.

Lelaki berusia 61 tahun itu dikatakan telah selamat mendarat di Bachok pada petang Khamis dan dijangka pulang ke rumah Jumaat.

Menurut hantaran Khairol Fiberglass Bot di Facebook miliknya, hampir dua jam dia memujuk lelaki yang berasal dari Melor itu untuk membawa bot 3.6 meter, enjin berkuasa empat kuda yang dibeli menggunakan kenderaan secara percuma namun ditolak.

Warga emas yang menaiki motosikal ke Dungun itu dikatakan nekad untuk membawa pulang bot fiber yang baharu dibeli menggunakan laluan laut.

Berdasarkan hantaran tersebut Khairol Fiberglass Bot sempat menyediakan pendayung dan jaket keselamatan untuk digunakan lelaki berkenaan sepanjang perjalanannya.

"Terima kasih semua orang baik-baik. Ramai mesej kepada 'admin' maklum pak cik banyak kali juga langgar pukat orang.

"Ada yang dia hulur duit, tapi orang tak ambil....ada juga yang tolong beli minyak, tolong belanja makan," antara hantaran yang dibuat di media sosial tersebut.

Sementara itu motosikal lelaki terbabit dikatakan dibawa bersama menaiki bot namun kemudian ditinggalkan di Pulau Kerengga semasa berhenti seketika kerana kehabisan minyak.

Menurut anak saudara kepada warga emas terbabit yang enggan dikenali, bapa saudaranya suka mencuba perkara baharu.

Artikel Berkaitan:

"Bot tersebut dibeli kerana kawasan rumah pakcik sering dilanda banjir. Rumah pakcik juga terletak berhampiran sungai.

"Pakcik seorang yang tidak bergaul dengan orang ramai dan hanya tinggal di rumah sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian berusaha ke rumah warga emas tersebut di Melor namun warga emas terbabit difahamkan masih belum pulang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!