Siasatan kes Sapura Energy dijangka ambil masa panjang - SPRM

SPRM menganggarkan harta milik SEB di luar negara berjumlah AS$3.3 juta (RM13.98 juta). Gambar hiasan
SPRM menganggarkan harta milik SEB di luar negara berjumlah AS$3.3 juta (RM13.98 juta). Gambar hiasan
A
A
A

 

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan mengambil masa panjang untuk menyiasat harta milik Sapura Energy Berhad (SEB) di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menganggarkan harta milik SEB di luar negara berjumlah AS$3.3 juta (RM13.98 juta).

Beliau berkata, siasatan dilakukan ke atas aset tersebut dijangka mengambil masa lama kerana ia diserahkan kepada sub kontraktor di beberapa buah negara termasuk Brazil, Belanda serta Singapura.

"Siasatan membabitkan aset SEB di luar negara itu dijangka mengambil masa panjang kerana hendak membekalkan maklumat diperlukan.

"Kita juga perlu membuat pelbagai permohonan membabitkan urusan siasatan ini," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.

Azam berkata, kes SEB melibatkan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM12 juta yang dilakukan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata lagi, seramai 15 saksi yang telah dirakam keterangan, namun setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

Katanya, SPRM turut membekukan aset atau harta milik pengarah syarikat Sapura Petroleum dan keluarganya, termasuk dua buah rumah mewah bernilai RM5.5 juta yang dimiliki oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes yang melibatkan yang pertama ni, siasatan masih dijalankan dan kita sedang mengesan sama ada wang RM12 juta itu adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta SPRM,” ujarnya.

Azam berkata, kes terbabit hanya melibatkan tahun 2018 iaitu ketika Permodalan Nasional Berhad (PNB) membuat suntikan dana ke dalam Sapura Energy, menjadikannya sebuah syarikat milik berkepentingan kerajaan (GLC).

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!