Keluarga Tun Daim berjaya tangguh beku aset RM758.2 juta di London

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin untuk menangguhkan sementara perintah membekukan aset hartanah di London yang mencecah 132 juta pound sterling (RM758.2 juta).
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah dan keluarga, dalam prosiding yang ditetapkan bagi sebutan permohonan ex parte atau sebelah pihak.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini untuk mendengar permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham bagi menjadi pencelah.
Hakim turut membenarkan Na’imah untuk menjadi pencelah dalam permohonan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara inter parte, iaitu antara dua pihak.
“Permohonan hendaklah difailkan dan disampaikan dalam tempoh 14 hari,” katanya.
Pada 3 Jun lalu, mahkamah memerintahkan aset luar negara milik isteri bekas ahli politik itu dan keluarganya dibekukan.
Tujuh aset yang dibekukan itu, kesemuanya di London, antaranya ialah dua bangunan komersial, lima kediaman mewah dan satu akaun bank yang didaftarkan atas nama Yayasan Ilham.
Salah satu bangunan komersial itu terletak di St Mary Axe, London yang dibeli pada Julai 2013 pada harga 23.7 juta pound sterling (RM136.2 juta), manakala satu lagi di One Crown Court, Cheapside, London dibeli pada Oktober 2014 pada harga 31.5 juta pound sterling (RM181 juta).
Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah, dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews, dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 37.8 juta pound sterling (RM217.3 juta), dan sebuah lagi di Lancaster Gate, London dibeli pada tarikh sama dengan harga 31.2 juta pound sterling (RM179.4 juta).
Turut dibekukan, dua kediaman di Gloucester Place yang dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 8.1 juta pound sterling (RM46.5 juta).
Sementara itu, semasa prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim K. Muniandy, mahkamah menetapkan 1 Ogos depan untuk mendengar permohonan Na’imah menjadi pencelah.
Ia berhubung permohonan SPRM untuk membekukan 12 akaun pelaburan milik Na’imah, keluarga dan sekutu, yang bernilai lebih RM544 juta di Singapura.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Iman Wan Mohd Afzal memohon agar mahkamah membenarkan perintah membekukan harta tersebut, yang menurut hasil siasatan awal dipercayai menggunakan sumber pendapatan dalam negara dan tidak pernah diisytiharkan.
Menurutnya, pendakwaan memohon agar mahkamah membekukan harta tersebut sebelum ia dikhuatiri dilupuskan.
Bagaimanapun, Gurdial berkata, perintah ini bukan sahaja melibatkan harta tetapi juga terhadap individu.
Menurutnya, ia tidak boleh diteruskan secara ex parte, sebaliknya tindakan wajar ialah secara inter parte.
“Saya mohon supaya mahkamah ini tidak mengeluarkan sebarang perintah berkaitan pembekuan sehingga permohonan inter parte didengar.
“Kami tidak mempertikaikan tindakan SPRM untuk membuat permohonan ini atau menjalankan siasatan, tetapi ia mestilah dilakukan dengan cara yang sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

