[VIDEO] Tiga rakan didakwa cedera lelaki guna pisau pemotong, kayu hoki
SEREMBAN – Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong dan kayu hoki, minggu lalu.
Tertuduh, G. R. Hari Nathan, 29; S. Nantha Kumar, 37; dan M. Mathialagan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas J. Navinthiran, 30, menggunakan senjata berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2.30 pagi di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Nilai Square, Bandar Baru Nilai, Nilai, pada Ahad lalu.
Sehubungan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan supaya tidak mengganggu saksi atau mangsa.
Mahkamah membenarkan Hari Nathan dijamin sebanyak RM5,000, manakala Nantha Kumar dan Mathialagan masing-masing RM7,000, berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, ketiga-tiga tertuduh dan mangsa, iaitu Navinthiran, turut didakwa menyertai suatu rusuhan serta memiliki pisau lipat, pisau pemotong dan kayu hoki yang digunakan sebagai senjata dalam kejadian di lokasi dan waktu yang sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika disabitkan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, Hari Nathan dan Navinthiran mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jaminan sebanyak RM2,500 seorang.
Nantha Kumar dan Mathialagan pula mengaku bersalah dan masing-masing didenda RM3,000. Jika gagal menjelaskan denda tersebut, mereka boleh dipenjara selama lima bulan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

