Program CSR perkukuh jalinan kerjasama Mahsuri Dagang-IPTA

Mohd Jazri (kanan, berdiri) dan Ahmad Tajuddin (kiri, berdiri) beramah mesra dengan pelajar Teknologi Makanan UiTM kampus Kuala Pilah yang diraikan pada Selasa.
Mohd Jazri (kanan, berdiri) dan Ahmad Tajuddin (kiri, berdiri) beramah mesra dengan pelajar Teknologi Makanan UiTM kampus Kuala Pilah yang diraikan pada Selasa.
A
A
A

SYARIKAT Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah.

Pada Selasa, Mahsuri Dagang menaja program Makan Malam anjuran pelajar Program Teknologi Makanan kampus berkenaan yang merangkumi sumbangan dalam bentuk wang tunai serta produk sos tiram keluaran syarikat sebagai cenderamata kepada peserta.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, penajaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mendekati institusi pendidikan dan membina jalinan strategik yang mampu memberi impak jangka panjang kepada industri makanan negara.

“Program malam ini merupakan sebahagian daripada CSR Mahsuri Dagang yang bertujuan merapatkan kerjasama dan menyampaikan sebahagian sumbangan kami kepada sektor pendidikan awam.

“Universiti awam ini, walaupun dibiayai oleh kerajaan, tetapi masih memerlukan sokongan dana luar sebagai tambahan apabila melaksanakan aktiviti seperti ini,” katanya ketika ditemui pada program Makan Malam yang berlangsung di UiTM Kampus Kuala Pilah.

Turut hadir, Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Ahmad Tajuddin Idris serta Koordinator Program Teknologi Makanan UiTM, Dr Siti Azima Abdul Muttalib.

Mohd Jazri berkata, program seperti ini membuktikan bahawa produk syarikat dipercayai oleh pelajar industri makanan yang memohon penajaan bagi menjayakan aktiviti mereka.

Beliau menjelaskan, jalinan kerjasama seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan, selari dengan keperluan semasa antara sektor pendidikan dan industri makanan.

“Dari segi kerjasama, syarikat kami sebelum ini pernah membuat kunjungan hormat ke UiTM Kampus Seremban pada tahun lepas. Saya turut memberikan beberapa cadangan bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula, pelajar terlibat ini merupakan pelajar jurusan Teknologi Makanan semester keempat yang bakal menjalani latihan industri. Jadi, kami mahu terus bersama mereka dan berharap mereka dapat menyertai industri selepas tamat pengajian,” katanya.

Mohd Jazri (kiri, berdiri) dan Ahmad Tajuddin (kanan, berdiri) beramah mesra dengan pelajar Teknologi Makanan UiTM kampus Kuala Pilah pada Selasa.
Mohd Jazri (kiri, berdiri) dan Ahmad Tajuddin (kanan, berdiri) beramah mesra dengan pelajar Teknologi Makanan UiTM kampus Kuala Pilah pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat bersedia menjalin kerjasama dalam bidang pembungkusan, keselamatan makanan dan keterjaminan makanan pada masa hadapan.

Tambah beliau, selain program berkenaan, Mahsuri Dagang juga pernah melaksanakan program CSR bersama institusi lain seperti UiTM Shah Alam dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Menjalinkan kerjasama dengan IPTA penting untuk memperluas pelaksanaan CSR kami sebagai salah satu cabang khidmat masyarakat.

“Seperti yang kita tahu, IPTA turut memerlukan sokongan dana daripada pihak luar. Jadi, kami tampil ke hadapan untuk menyalurkan bantuan, khususnya kepada pelajar dalam bidang Teknologi Makanan yang bakal menyertai industri makanan seperti yang kami usahakan,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, Mahsuri Dagang ada menyediakan biasiswa khas kepada pelajar kolej kulinari dan kini dalam peringkat pertimbangan untuk menerima pelajar Teknologi Makanan menjalani latihan industri di syarikat tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Mahsuri Dagang yang kini beroperasi di Shah Alam sedang menantikan penyiapan kilang baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, yang dijangka siap antara Disember ini hingga Januari tahun hadapan.

Justeru katanya, pembukaan kilang berkenaan dijangka akan meningkatkan lagi pelaksanaan program CSR syarikat di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Dr Siti Azima berkata, keterlibatan industri dalam program seperti ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap inisiatif pelajar UiTM, khususnya pelajar Program Teknologi Makanan Kampus Kuala Pilah.

“Kerjasama erat antara universiti dan industri bukan sahaja memperkukuh jaringan profesional, malah membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk meneroka peluang kerjaya dan latihan industri yang lebih relevan.

“Semoga kolaborasi ini membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik dalam bidang latihan industri, penyelidikan bersama serta pembangunan modal insan yang selari dengan keperluan industri makanan masa kini,” katanya.

Majlis Makan Malam pelajar tahun akhir Program Teknologi Makanan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah, berlangsung dengan penuh kemeriahan bertemakan ‘Cultural Attire Around the World’.

Majlis ini menghimpunkan lebih 109 pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Makanan dan Ijazah Sains Teknologi Makanan.

Majlis makan malam tersebut menjadi simbolik penutup lembaran pengajian pelajar tahun akhir dan permulaan kepada perjalanan baharu sebagai profesional muda dalam dunia sebenar industri makanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!