WW3: Gen Z ketawa dalam kepanikan, sembunyi rasa gelisah

SEJAK minggu lalu, semua orang bercakap tentang dunia sedang berada di ambang Perang Dunia Ketiga (WW3). Paling menarik perhatian Merak Jalanan adalah reaksi generasi muda khususnya Gen Z.
Golongan itu sememangnya mempunyai kreativiti tersendiri kerana mereka tidak melancarkan protes jalanan, sebaliknya meluahkan kebimbangan masing-masing dalam bentuk meme, jenaka sarkastik dan perkongsian video di TikTok yang meraih jutaan tontonan.
Gen Z merupakan generasi yang membesar dalam suasana krisis pandemik Covid-19, perubahan iklim, krisis ekonomi hinggalah ke konflik antarabangsa yang semakin meruncing.
Merak Jalanan yang turut sama berdebar menanti perkembangan konflik di rantau Asia Barat terhibur dengan kandungan humor Gen Z yang membanjiri platform media sosial.
Antaranya ada yang memberi idea ‘pakaian untuk WW3’. Sempat lagi mereka mahu fikirkan tema pakaian ketika negara sibuk berperang.
Pakar psikologi berpendapat, meme yang dikongsikan mereka walaupun agak menjengkelkan, tetapi sebenarnya adalah mekanisme daya tindak emosi. Mereka memilih untuk ketawa dalam kepanikan dan cuba menyembunyikan rasa gelisah tentang ancaman WW3.
‘Serangan’ Gen Z pada enjin carian turut menyaksikan pencarian maklumat ‘adakah Amerika Syarikat (AS) akan berperang’ melonjak hampir 5,000 peratus manakala carian WW3 meningkat hampir 2,000 peratus.
Rupa-rupanya kepanikan sama pernah berlaku pada 2020 ketika Komander Pasukan Quds di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Leftnenan Jeneral Qasem Soleimani terkorban dalam serangan AS di Baghdad. Namun, Gen Z cuba tenang menghadapinya meskipun fikiran kacau-bilau dengan menukar ketakutan dunia dengan kandungan tular melalui meme dan jenaka sindiran.
Persoalannya tetap sama selepas tempoh lima tahun, adakah kita benar-benar sudah bersedia?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
