Imej satelit dedah temberang AS?

Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan impak serangan AS ke atas kemudahan pengayaan uranium Isfahan di tengah Iran. Foto Agensi
Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies menunjukkan impak serangan AS ke atas kemudahan pengayaan uranium Isfahan di tengah Iran. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Imej satelit komersial menunjukkan impak serangan dilancarkan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Fordow.

Tetapi, timbul persoalan dalam kalangan pakar tentang kesahihan gambar itu.

"AS dakwa mereka gugurkan bom 'bunker buster' atau peluru penembus kubu berat (MOP). Ia sepatutnya menyebabkan kebinasaan dahsyat sebaliknya hanya kesan beberapa lubang yang mencurigakan," kata bekas pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengetuai Institut untuk Keselamatan Sains dan Antarabangsa, David Albright.

Penyelidik bersekutu di CNA Corporation, Decker Eveleth juga menyatakan kemusnahan bahagian bawah tanah yang mengandungi ratusan emparan tidak dapat disahkan ketika AS beria-ia meraikan kejayaan kempen pengeboman mereka.

Sebagai langkah siap siaga menghadapi serangan AS pada awal pagi Ahad, Iran dikatakan telah menempatkan sebahagian besar program nuklear mereka di lokasi berkubu yang terletak jauh di bawah tanah termasuk di kawasan gunung di Fordow.

Kegagalan untuk memusnahkan kompleks tersebut bermakna Iran masih boleh memulakan semula program senjata seperti didakwa risikan AS.

Kemudahan nuklear Fordow antara sasaran kempen pengeboman Zionis yang bermula pada 13 Jun lalu. Foto Agensi
Kemudahan nuklear Fordow antara sasaran kempen pengeboman Zionis yang bermula pada 13 Jun lalu. Foto Agensi

Beberapa pakar memberi amaran Teheran mungkin telah memindahkan simpanan uranium yang sangat diperkaya hampir ke tahap gred senjata dari Fordow dan menyembunyikan komponen nuklear lain di lokasi rahsia yang gagal dikesan seterunya, Israel, AS serta pemeriksa di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Artikel Berkaitan:

Imej satelit dikeluarkan Maxar Technologies mendedahkan 'aktiviti luar biasa' di Fordow pada 19 dan 20 Jun lalu dengan barisan panjang kenderaan di luar pintu masuk kemudahan berkenaan.

Sumber di Teheran memberitahu Reuters pada Ahad lalu bahawa sebahagian besar uranium yang diperkaya 60 peratus hampir ke tahap gred senjata telah dipindahkan ke lokasi yang tidak didedahkan sebelum AS melancarkan serangan.

Jeffrey Lewis di Middlebury Institute of International Studies at Monterey berpendapat cita-cita Washington dan Tel Aviv untuk menghentikan program nuklear Iran agak mustahil.

"Sudah semestinya ada fasiliti rahsia yang tidak diketahui umum," ujarnya.

Senator Mark Kelly juga melontarkan idea serupa dan percaya program nuklear Iran mungkin dijalankan secara rahsia dan bukan di bawah tanah seperti didakwa banyak pihak.

Teheran berulang kali menegaskan program nuklear mereka adalah untuk tujuan keamanan, namun matlamat itu mungkin boleh berubah kerana peperangan yang meletus bersama Israel.

Majlis Syura (Parlimen) Iran sedang mempertimbangkan langkah untuk menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), asas sistem antarabangsa yang berkuat kuasa pada 1970, sekali gus menamatkan kerjasama dengan IAEA.

AS sorok sesuatu?

Info grafik menunjukkan bagaimana jet pengebom B-2 menggugurkan bom bunker buster, 14 GBU-57/B MOP.
Info grafik menunjukkan bagaimana jet pengebom B-2 menggugurkan bom bunker buster, 14 GBU-57/B MOP.

Sebelum ini, Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Dan Caine mendakwa tujuh jet pengebom B-2 menggugurkan 14 GBU-57/B MOP seberat kira-kira 13,600 kilogram yang direka untuk menembusi sasaran sedalam 61 meter ke bawah tanah di kemudahan seperti Fordow.

Menurutnya, penilaian awal mendapati tapak tersebut mengalami kemusnahan teruk, namun enggan mengulas dengan lebih terperinci.

Kempen pengeboman digelar Operasi Midnight Hammer itu juga menyasarkan kompleks pengayaan uranium utama di Natanz dan Isfahan yang merupakan lokasi pusat penyelidikan nuklear terbesar.

Albright menerusi catatan di platform X menilai imej satelit Space yang menunjukkan misil cruise Tomahawk milik AS yang kononnya membinasakan kemudahan uranium di Isfahan dan impak hentaman bom 'bunker buster' MOP di Natanz.

Beliau mempersoalkan penggunaan peluru berpandu cruise di Isfahan yang didakwa sebenarnya tidak berupaya untuk menembusi kompleks terowong berhampiran pusat penyelidikan nuklear utama yang dipercayai kedudukannya jauh lebih dalam ke bawah tanah berbanding Fordow.

IAEA yang cuba mengiyakan kejayaan serangan AS mendakwa laluan masuk terowong itu telah terjejas teruk.

"Baru-baru ini, Teheran ada memaklumkan kepada IEAE bahawa mereka merancang untuk membangunkan kemudahan pengayaan uranium baharu di Isfahan.

"Berkemungkinan terdapat 2,000 hingga 3,000 lagi emparan untuk kompleks baharu itu. Di mana ia disembunyikan?" soalnya lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!