Pelajar Palestin harap dunia terus prihatin nasib Gaza

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] “Jika kita tidak mampu menghentikan ketidakadilan ini, sekurang-kurangnya kita perlu memberitahu semua orang tentangnya.”
Itu pesanan yang disampaikan oleh Adnan Sami, seorang pelajar Palestin yang kini menuntut dalam jurusan Sains Komputer di salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Adnan yang juga ahli Persatuan Pelajar Palestin Malaysia merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat serta kerajaan Malaysia atas sokongan padu yang diberikan terhadap Palestin dan perjuangan rakyat Gaza.
Katanya, sebagai salah seorang pelajar Palestin di Malaysia, beliau amat berterima kasih atas sokongan dan solidariti yang ditunjukkan oleh rakyat di negara ini.
“Walaupun sumbangan itu kecil, ia sangat bermakna kepada kami dan rakyat Palestin.
“Saya juga sentiasa mengingatkan diri serta rakan-rakan bahawa walaupun kita tidak mampu mengakhiri kezaliman yang berlaku, adalah penting untuk terus menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran tentang isu Palestin kepada dunia.
“Kita juga mahu masyarakat dunia agar terus mendoakan keselamatan rakyat Palestin dan memboikot produk yang menyokong rejim Zionis Israel,” katanya pada Selasa.
Adnan berkata demikian sempena program Perarakan Keamanan untuk Palestin anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung di Masjid Sultan Ismail, UTM pada Selasa.
Perarakan yang bermula sekitar jam 2.30 petang dan berakhir kira-kira jam 4 petang itu turut disertai oleh pensyarah, pelajar dan kakitangan UTM.
Sementara itu, Adnan memuji usaha UTM yang secara konsisten menganjurkan program solidariti seperti perarakan dan perhimpunan untuk Palestin.
Malah, katanya, beliau amat menghargai penganjuran program seperti ini kerana ia dilihat mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap apa yang berlaku di Gaza ketika ini.
“Saya datang semata-mata untuk berdiri bersama anda semua dan berkongsi realiti yang berlaku di Gaza.
“Untuk pengetahuan semua, keluarga saya, ibu bapa dan tujuh orang adik-beradik kini masih terperangkap di Gaza, dan saya satu-satunya ahli keluarga yang berada di luar Gaza.
“Kadang-kadang saya tidak dapat berhubung dengan mereka selama beberapa hari atau minggu, dan ini membuatkan saya hanya mampu berdoa untuk keselamatan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
