Voice for Palestine, solidariti terhadap nasib pelajar Palestin

JOHOR BAHRU – Program Voice for Palestine anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) secara keseluruhannya bertujuan untuk menyatakan sokongan dan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin khususnya pelajar-pelajar yang terjejas akibat serangan berterusan di Gaza.
Pengarah program, Zainab Mat Lazim berkata, pelajar dan kakitangan UTM cakna dengan situasi di Palestin walaupun berada jauh dari lokasi konflik.
“Kami mahu tunjukkan kepada masyarakat Malaysia dan dunia bahawa warga UTM termasuk pelajar, staf dan ahli akademik sangat prihatin dengan apa yang berlaku di Palestin.
“Walaupun di Johor ini tiada kesan secara langsung, kami tetap mengambil peduli dan berusaha menyuarakan isu ini,” katanya.
Pelbagai aktiviti turut dijalankan di bawah program Voice for Palestine termasuk program mewarna untuk pelajar sekolah rendah, pertandingan melukis bertemakan konflik Gaza, pameran berkaitan Palestin oleh badan bukan kerajaan (NGO), serta sesi dialog dan perkongsian bersama pelajar Palestin sendiri.
Malah, UTM turut melancarkan tabung kutipan dana untuk Palestin di bawah inisiatif Endowment UTM dengan sasaran kutipan sebanyak RM50,000 dan dijangka ditutup pada 7 Oktober ini.
Tambah Zainab, kemusnahan yang berlaku di Palestin ketika ini bukan sahaja melibatkan tempat ibadat dan rumah kediaman, malah sekolah, universiti dan hospital turut menjadi sasaran.
Katanya lagi, mereka mahu membawa suara pelajar Palestin yang ternyata terjejas teruk, khususnya dari segi pembelajaran masing-masing.
“Universiti mereka dibom, ramai tidak dapat meneruskan pengajian.
“Sekolah-sekolah juga dihancurkan. Alhamdulillah, kami di UTM belajar dalam keadaan aman, tetapi kami tetap peduli dengan nasib rakan-rakan pelajar di Palestin,” ujarnya.
Sementara itu, Zainab berharap mesej solidariti dari UTM ini dapat menjadi pencetus kepada institusi pendidikan lain di Johor dan seluruh negara sebagai tanda keprihatinan terhadap isu ini.
“Kami tidak meletakkan sasaran yang besar, tetapi kami berharap matlamat ini dapat dicapai kerana ia sebenarnya kecil berbanding dengan keperluan sebenar rakyat Palestin.
“Usaha kecil tersebut juga adalah lambang keprihatinan dan sokongan berterusan warga UTM kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

