KPDN kesan sindiket 'kreatif' manipulasi fleet card seleweng diesel

Mohd Zuhairi (tengah) ketika sidang akhbar pada Selasa.
Mohd Zuhairi (tengah) ketika sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyelewengan diesel didapati semakin beralih menggunakan 'fleet card' di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dalam menjalankan aktiviti haram mereka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, siasatan dan risikan dijalankan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, KPDN yakin akan ada sindiket fleet card yang akan berjaya ditumpaskan dalam masa terdekat.

"Seperti kita tahu sindiket memang kreatif dan mula menyalahgunakan rasionalisasi subsidi menggunakan 'fleet card'.

"Kita dapati mereka menggunakan fleet card bukan milik mereka. Kita ambil maklum mengenainya dan saya boleh berjanji dengan pihak tuan dan puan (media) akan dapat banyak lagi kes bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (termasuk sindiket fleet card ini)," katanya pada sidang akhbar selepas pelupusan eksibit perdana KPDN Selangor di sini pada Selasa.

Beliau berkata, KPDN juga menjalin kerjasama bersama syarikat-syarikat pengeluar minyak di negara ini dengan melaksanakan kawalan dalaman.

Jelasnya, ini bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan operasi membanteras sindiket tersebut.

"Kalau stesen itu terlibat dan ada bukti mereka bersubahat, kita akan tarik lesen (pengusaha) stesen minyak itu. Bagi syarikat pengeluar pula akan menyenaraihitamkan pengusaha itu," ujarnya.

Mengulas lanjut, tegas Mohd Zuhairi, sepanjang enam bulan tahun ini sebanyak 96 kes berjaya diperoleh dengan melibatkan rampasan RM2.9 juta dan nilai kompaun sebanyak RM32,000 bagi Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

"Bagi diesel sahaja bagi tempoh sama melibatkan RM1.2 juta termasuk menumpaskan sindiket di daerah ini baru-baru ini," katanya.

Sinar Harian pada Mei lepas melaporkan KPDN Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket susulan tangkapan lima lelaki tempatan berusia 30 hingga 45 tahun dan merampas 11 'fleet card' di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!