Tapak ECRL di Temerloh dipantau, belum ada insiden kecurian - Polis

TEMERLOH – Polis mengesahkan tiada sebarang kes kecurian peralatan atau kabel melibatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikesan berlaku di Temerloh setakat ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pihaknya memantau dengan rapat perkembangan projek berkenaan khususnya berkaitan keselamatan peralatan penting seperti choke transformer.
“Setakat ini, tiada kes dilaporkan kerana peralatan tersebut masih belum dipasang di sepanjang jajaran ECRL di daerah Temerloh, melibatkan jarak kira-kira 80 kilometer yang turut meliputi kawasan Maran.
“Kita juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak ECRL dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan serta pencegahan bagi mengelakkan kejadian kecurian peralatan projek tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, beberapa tindakan proaktif telah dirancang oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bagi memastikan keselamatan aset-aset ECRL.
Jelasnya, antara usaha yang dilakukan termasuk penubuhan Pasukan Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang akan menjalankan pemeriksaan ke atas premis barang lusuh di sekitar daerah ini.
Ujarnya, pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan tiada aktiviti jual beli peralatan milik ECRL.
“Kita juga akan menasihati pemilik premis supaya segera melaporkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang cuba menjual kabel atau peralatan mencurigakan.
“IPD Temerloh turut mengenal pasti individu yang mempunyai rekod berkaitan jenayah curi kabel dan besi di kawasan ini.
“Rondaan berkala oleh ketua polis balai dan elemen pencegahan di kawasan berisiko juga akan dilaksanakan,” tambahnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan sesi penerangan berkaitan langkah keselamatan juga akan diadakan bersama syarikat terlibat agar isu ini dapat dibendung lebih awal.
“Kita tidak mahu perkara ini berulang dan akan bekerjasama rapat dengan pihak ECRL,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

