Sistem kawalan AI perlu dilaksana kesan kurier bawa dadah - JSJN

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan agar sistem kawalan berteknologi kecerdasan buatan (AI) dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengesan penyeludupan dadah melalui penghantaran kurier.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, cadangan itu susulan siasatan pihaknya yang mendapati sindiket dadah vape berisi cecair kokain yang ditumpaskan pada Khamis lalu dipercayai dalam perjalanan ke syarikat penerbangan kurier untuk menyeludup dadah ke pasaran antarabangsa.
“Pemeriksaan yang lebih ketat dan efisien perlu diperkukuh di semua peringkat termasuk lapangan terbang dan syarikat kurier bagi menangani percubaan seumpama itu.
“Pemeriksaan yang ketat dan lebih efisien dengan sistem kawalan keselamatan berasaskan teknologi AI perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Ia termasuk di peringkat lapangan terbang dan syarikat kurier agar percubaan menyeludup dadah dalam bentuk cecair seperti ini dapat dikesan lebih awal,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mat Zani berkata, siasatan mendapati sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai negara transit bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Namun mereka gagal kerana JSJN lebih cekap. Sindiket berkenaan mengambil kesempatan terhadap perkembangan industri vape dengan mencipta cecair yang lebih eksklusif. Ini adalah kali pertama mereka mencuba, dan terus gagal,” katanya.
Mengenai keputusan analisis makmal terhadap kandungan cecair dalam katrij vape, Mat Zani memaklumkan bahawa keputusan masih belum diperoleh, namun pihak polis percaya ia mengandungi dadah berbahaya itu berdasarkan hasil soal siasat ke atas suspek.
Pada Isnin, media melaporkan polis menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa yang menyewa unit kondominium untuk membungkus semula cecair mengandungi kokain ke dalam katrij vape, dengan nilai rampasan mencecah RM7.2 juta.
Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis menahan empat suspek terdiri daripada tiga warga Singapura dan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di lorong berhampiran sebuah hotel di Ampang Jaya, dekat sini, pada Khamis.
Mat Zani berkata, sindiket tersebut menyewa unit kondominium pada kadar RM300 sehari untuk melakukan aktiviti pembungkusan semula dadah sebelum mengedarkannya ke luar negara.
Beliau berkata, bekalan dadah itu dipercayai diseludup masuk melalui laluan darat di selatan tanah air sebelum dibungkus semula dalam bentuk cecair vape.
Dadah terbabit dipercayai disasarkan untuk pasaran antarabangsa serta golongan elit kerana harga satu katrij mengandungi 1.9 mililiter (ml) cecair kokain di luar negara boleh mencecah sehingga RM1,500 seunit.
Ini merupakan kali pertama JSJN merampas dadah jenis kokain dalam bentuk cecair vape, berbeza dengan rampasan sebelum ini yang biasanya melibatkan dadah sintetik seperti syabu.
Ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek dipercayai dalam proses menghantar bungkusan kotak berisi vape dadah ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier udara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
