Dua mekanik didakwa seludup tiga warga China, satu Myanmar

Mohd Fairul Mu’min (dua dari kiri) dan Mohd Azman (dua dari kanan) ketika tiba di mahkamah untuk mendengar pertuduhan. 
Mohd Fairul Mu’min (dua dari kiri) dan Mohd Azman (dua dari kanan) ketika tiba di mahkamah untuk mendengar pertuduhan. 
A
A
A

PASIR MAS - Dua mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menyeludup tiga migran warga China dan seorang warga Myanmar, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Fairul Mu’min Abd Rahim, 45, dan Mohd Azman Ismail, 40, didakwa di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohd Fairul Mu’min (dua dari kiri) dan Mohd Azman (dua dari kanan) berjalan menuju ke lokap mahkamah. 
Mohd Fairul Mu’min (dua dari kiri) dan Mohd Azman (dua dari kanan) berjalan menuju ke lokap mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjalankan penyeludupan terhadap keempat-empat lelaki berusia antara 20 hingga 27 tahun itu di kawasan jalan Lorong Kampung Kok Serai, Kampung Tujuh, Tumpat pada jam 5.05 petang, 21 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, semua pengangkut, harta alih, buku rekod, laporan atau dokumen yang disita berkaitan kes itu boleh dilucuthakkan mengikut Seksyen 36(1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 April ini sementara menunggu kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Ringkasan AI

  • Dua mekanik didakwa menyeludup tiga migran warga China dan seorang warga Myanmar di Pasir Mas
  • Mohd Fairul Mu'min Abd Rahim dan Mohd Azman Ismail dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas
  • Kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi
  • Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang 2007, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun
  • Tiada jaminan dibenarkan, kes ditetapkan tarikh sebutan semula pada 9 April

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!