Lelaki dicekup bawa dadah RM13,220

HULU SELANGOR - Tindakan seorang lelaki membawa pelbagai jenis dadah terbongkar setelah diberkas dalam rondaan cegah jenayah di susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, suspek berumur 52 tahun ditahan kira-kira jam 4.30 pagi selepas dilihat memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek menemui lapan peket plastik lut sinar berisi serbuk ketulan putih disyaki heroin seberat 537 gram, empat peket plastik besar dan empat peket kecil berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 62 gram serta 30 keping aluminium foil dipercayai mengandungi Erimin 5 seberat 83 gram.
"Keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM13,220 yang disyaki untuk diedarkan di sekitar daerah ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah.
"Ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morphine.
"Semakan mendapati jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan seberat 682 gram yang mampu dibekalkan kepada 2,728 pengguna dengan anggaran 0.25 gram bagi setiap pengambilan," katanya.
Menurutnya, suspek direman tujuh hari bermula 1 Mac hingga 7 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
"Kami sentiasa komited membanteras pengedaran dadah di daerah ini dan menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada polis.
"Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kegiatan pengedaran dadah dapat ditumpaskan secara berterusan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

