Lelaki positif dadah ditahan cuba halang tugas polis

Tangkap layar rakaman video tular yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dikejar polis dalam kejadian di Butterworth pada Khamis.
Tangkap layar rakaman video tular yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dikejar polis dalam kejadian di Butterworth pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditahan selepas cuba menghalang polis menjalankan tugas dalam satu kejadian di Jalan Bagan Dalam, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis mengarahkan pemandu kenderaan itu berhenti dengan memberi isyarat lampu beacon dan siren sebanyak tiga kali, namun pemandunya enggan memberi kerjasama dan terus memecut laju.

“Suspek berjaya ditahan di hadapan Flat Ampang Jajar selepas polis mengejar kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Anuar, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan satu paket plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu, manakala ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine.

“Suspek direman empat hari hingga 23 Jun bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Beliau menambah, semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan pihak polis.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Major Muhammad Aliff Qayyum Shahabuddin di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa memecut laju selepas dikejar beberapa buah kereta peronda polis tular di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!