Bakar gambar PM melampau, biadab - G57

KOTA KINABALU – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyifatkan tindakan membakar gambar karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu perbuatan melampau dan biadab.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang didakwanya dibantu oleh ahli Parti Warisan (Warisan) tidak sepatutnya berlaku dan melanggar norma serta adab masyarakat Sabah.
“Rakyat Sabah sangat dikenali sebagai masyarakat yang berbudi bahasa dan memiliki sifat lemah lembut.
“Justeru, budaya membakar foto Perdana Menteri jelas mengejutkan semua lapisan masyarakat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Zulkarnain berkata, G57 menyeru rakyat Sabah agar bersatu hati menolak budaya ganas yang cuba diperkenalkan di negeri itu.
“Rakyat Sabah bijak menilai dan menolak mana-mana parti yang menjadi dalang kepada perhimpunan ini.
“Warisan harus bertanggungjawab terhadap insiden biadab ini kerana majoriti yang hadir dalam perhimpunan tersebut terdiri daripada pemimpin, ahli dan penyokong parti berkenaan,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa perhimpunan aman itu menyebabkan kesesakan lalu lintas, sekali gus memberi gambaran buruk terhadap imej Sabah di mata pelancong asing.
Sehubungan itu, G57 mendesak Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal agar mengisytiharkan supaya partinya keluar daripada kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Tindakan kepimpinan dan ahli Warisan yang berterusan menyerang Datuk Seri Anwar secara terbuka di Sabah, namun masih kekal dalam kerajaan Perpaduan, adalah jelas satu perbuatan baling batu sembunyi tangan dan disifatkan sebagai pengecut.
“Walaupun Perikatan Nasional (PN) amat memusuhi Anwar, gabungan itu tetap beradab kerana tidak pernah bertindak membakar gambar Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!