Grab mula operasi e-hailing EV di KLIA

Anthony Loke (dua dari kanan) dan Rashid melihat kenderaan EV jenis BYD pada Majlis Perasmian Perkhidmatan Grab EV di KLIA pada Selasa.
Anthony Loke (dua dari kanan) dan Rashid melihat kenderaan EV jenis BYD pada Majlis Perasmian Perkhidmatan Grab EV di KLIA pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - Grab Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila memperkenalkan perkhidmatan e-hailing menggunakan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelancaran tersebut merupakan langkah tepat dalam menyokong dasar kerajaan ke arah pengangkutan rendah karbon dan sistem mobiliti yang lebih lestari.

“Pelancaran ini sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030 dan Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan 2021–2025 yang antara lain menekankan penggunaan teknologi hijau serta pengurangan pelepasan karbon.

“Pemilihan KLIA sebagai lokasi permulaan adalah amat bertepatan kerana ia merupakan pintu masuk utama negara dengan trafik penumpang yang tinggi, sekali gus memberi pendedahan maksimum kepada pengguna domestik dan antarabangsa,” katanya ketika melancarkan perkhidmatan EV Grab dan EV Lounge di KLIA pada Selasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Grab serta rakan strategik seperti BYD Sime Motors, Yinson GreenTech dan Power-Up Tech (P.UP) kerana bersama memainkan peranan dalam membangunkan ekosistem EV negara.

“Saya percaya pelancaran ini akan menjadi pemangkin kepada peluasan perkhidmatan EV ke lokasi lain seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu,” ujarnya.

Anthony Loke (kanan) merasmikan EV Lounge untuk kemudahan penumpang kapal terbang di KLIA.
Anthony Loke (kanan) merasmikan EV Lounge untuk kemudahan penumpang kapal terbang di KLIA.

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, perkhidmatan e-hailing EV di KLIA dimulakan dengan 10 unit kenderaan BYD M6, MPV elektrik tujuh tempat duduk yang menawarkan perjalanan lebih senyap, luas dan selesa.

Artikel Berkaitan:

“Perkhidmatan ini boleh ditempah melalui aplikasi Grab secara eksklusif bagi perjalanan keluar dari KLIA,” katanya.

Menurut beliau, pemilihan laluan KLIA adalah strategi yang bertepatan kerana mempunyai permintaan tinggi dan boleh menjadi medium terbaik memperkenalkan kelebihan EV kepada orang ramai.

Tambah Rashid, pelancaran ini turut menandakan permulaan kerjasama jangka panjang antara Grab dan pelbagai rakan industri dalam menyokong agenda Ekonomi Hijau negara.

Sebagai nilai tambah, Grab turut memperkenalkan EV Lounge pertama di KLIA yang menyediakan ruang rehat selesa kepada penumpang menggunakan perkhidmatan EV.

Lounge itu dilengkapi kemudahan seperti tempat duduk berhawa dingin, pengecas peranti dan soket mudah alih bagi meningkatkan keselesaan penumpang.

Rashid berkata, pihaknya akan menilai maklum balas pengguna dan pemandu sebelum memperluaskan perkhidmatan EV ke kawasan lain yang berimpak tinggi.

“Kami percaya masa depan pengangkutan awam akan didorong oleh teknologi bersih. Dengan kerjasama erat antara kerajaan dan pihak industri, usaha ke arah mobiliti hijau akan menjadi realiti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!